Allahyarham Omar Miskam (kanan) dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Panchor, Pagoh. - Foto SYARAFIQ ABD SAMAD
BERNAMA

Melaka: Keluarga Omar Miskam, 49, yang dibunuh kejam dengan mayatnya dikerat kepada beberapa bahagian, mengesyaki sesuatu berlaku terhadap mangsa disedari hilang sejak 12 hari lalu.

Mereka semakin bimbang kejadian buruk menimpa anak kelima daripada lapan beradik itu apabila mengetahui melalui media, ada orang mati dibunuh di sebuah rumah di Kampung Kesang Laut, Tangkak, 31 Oktober lalu.

Abang mangsa, Darus Miskam, 65, berkata dia kemudian menghubungi polis selepas mengetahui berita penemuan mayat itu di media bagi mengesahkan sama ada mangsa adalah adiknya atau tidak.

“Polis meminta kami pergi ke Hospital Melaka, Isnin lalu, untuk membuat pengecaman.

"Ujian DNA terpaksa dilakukan kerana mayat dalam keadaan tidak sempurna dan ujian itu menggunakan sampel DNA saya serta adik lelaki. Isteri (mangsa) turut bantu membuat pengecaman," kata pesara Jabatan Patologi Hospital Tangkak itu, di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka, hari ini.

Semalam, polis mengenal pasti identiti mangsa sebagai Omar, pemandu jengkaut dan mempunyai seorang isteri.

Polis menahan dua suspek, iaitu wanita berusia 56 tahun dan remaja lelaki berusia 19 tahun. mereka direman seminggu sehingga 13 November ini bagi membantu siasatan.

Darus berkata pada mulanya, dia tidak menyangka mayat yang tidak sempurna itu adalah adiknya kerana sebelum ini, dia hanya melihat mayat orang lain dengan pekerjaannya dalam bidang kesihatan.

"Sebelum ini saya lihat mayat orang lain, saya tidak terkejut sangat kerana sudah biasa (tengok mayat) namun kali ini tidak sangka berlaku kepada adik sendiri," katanya.

Menurutnya, adiknya pendiam dan tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan atau memaklumkan masalah dihadapinya kepada mereka.

“Kami sekeluarga reda dengan apa berlaku," katanya.

Jenazah Omar, 49, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Panchor, Pagoh, malam ini, selepas disembahyangkan di Masjid Jamek Panchor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 11:50 PM