Jenazah Omar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Panchor, selepas disembahyangkan di Masjid Jamek Panchor. - Foto SYARAFIQ ABD SAMAD
Mohd Hanafis Abdul Haris
hanafis@hmetro.com.my


Pagoh: Hujan renyai-renyai mengiringi pengebumian Omar Miskam, mangsa pembunuhan kejam di sebuah rumah di Kampung Kesang Laut, Tangkak, 31 Oktober lalu.

Jenazah Omar, 49, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Panchor, di sini, pada 8.15 malam ini, selepas disembahyangkan di Masjid Jamek Panchor.

Kira-kira 200 penduduk kampung, termasuk ahli keluarga serta saudara mara menghadiri upacara pengebumian itu.

Ahad lalu, mayat mangsa yang dikerat kepada lebih 10 bahagian ditemui seorang penghuni rumah itu selepas dia menjumpai pergelangan kaki manusia berdekatan saluran pembetung longkang tempat meletak kereta kira-kira 3.15 petang.

Mangsa disyaki dibunuh lebih tiga hari sebelum itu dan anggota badan yang dikerat dibungkus dalam beg plastik manakala kepalanya ditanam tidak jauh dari rumah berkenaan.

Jenazah Omar dituntut abangnya, Darus Miskam, 65, kira-kira 5 petang ditemani kira-kira 10 ahli keluarga di Jabatan Forensik Hospital Melaka (HM), 5 petang tadi.

Difahamkan, proses pengecaman dilakukan oleh abang, adik serta isteri mangsa Isnin lalu, di Jabatan Forensik HM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 9:37 PM