Penunjuk perasaan di Los Angeles membakar patung Trump manakala gambar kanan, polis menahan penunjuk perasaan di Los Angeles yang berarak di lebuh raya 101. - Foto REUTERS/AFP
Agensi

Washington: Ribuan penunjuk perasaan berkumpul di jalan raya beberapa bandar raya utama Amerika Syarikat membantah kemenangan Donal Trump sebagai presiden negara itu.

BBC melaporkan ramai melaungkan slogan ‘Bukan Presiden saya’ dan ada yang membakar patung Trump selepas ahli perniagaan hartanah itu mengalahkan Hillary Clinton untuk menjadi presiden ke-45.

Trump akan bertemu Presiden Barrack Obama untuk berbincang bagi memastikan pemindahan kuasa berjalan lancar.

Obama yang sebelum ini menyatakan Trum sebagai tidak layak dan berkempen menentangnya, mendesak rakyat menerima keputusan pilihan raya.

Hillary turut meminta rakyat menerima keputusan itu dan memberi peluang kepada Trump.

Namun, bantahan dan tunjuk perasaan tetap berterusan di seluruh negara dengan di New York, ribuan berarak ke Menara Trump, membantah dasar bakal presiden itu termasuk isu pendatang dan hubungan sejenis.

New York Times melaporkan 15 orang ditahan.

Sebahagian besar bantahan itu dilakukan secara aman namun di Oakland, California, ada penunjuk perasaan memecahkan tingkap kedai dan melempar batu ke arah polis yang membalas dengan gas pemedih mata.

Perarakan anti-Trump menyebabkan laluan 101 di Los Angeles di tutup.

Di Chicago, orang ramai menghalang laluan masuk ke Menara Trump sambil melaungkan ‘Tiada Trump, Tiada KKK, Tiada Fasis USA" manakala di Portland, Oregon, penunjuk perasaan menutup lebuh raya.

Di Washington DC, penunjuk perasaan menyalakan lilin dengan penganjurnya, Ben Wikler berkata: “Kita berada di sini kerana sekarang zaman gelap.”

Bantahan juga berlaku di Philadelphia, Boston, Seattle dan San Francisco.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 7:05 PM