CHONG mewakili Happy Hotel Sdn Bhd. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Seremban: Happy Hotel didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan membuat penyambungan bekalan air tanpa kebenaran Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), lima tahun lalu.

Happy Hotel Sdn Bhd yang diwakili penyelia Chong Hoon Wai, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 123(1)(a) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 disebut semula di hadapan Hakim N Kanageswari.

Pada 20 Oktober lalu, Chong, 45, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mengikut pertuduhan, syarikat terbabit didakwa melakukan sambungan ke saluran utama awam milik SAINS dan membuat sambungan bekalan tanpa kebenaran di Jalan Tuanku Hassan di sini, pada 25 Januari 2011.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Mohd Helmy Razelan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 2:53 PM