TV LCD baru yang dilancarkan, semalam.
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya: Sharp-Roxy Sales & Services Company (M) Sdn Bhd (SRSSC), pengedar peralatan jenama SHARP di negara ini optimis untuk mencapai sasaran jualan sehingga RM1 bilion pada tahun depan.

Pengarah Urusannya Takaya Wakasumi berkata, berdasarkan pencapaian ketika ini, syarikat sudah berjaya mencapai jualan sebanyak RM900 juta.

“Menurut data dikeluarkan Kumpulan Peruncitan Malaysia, perniagaan runcit menurun sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama tahun ini, dan kami mengakui perkara itu apabila jumlah pelanggan kami turut menurun antara 10 peratus hingga 20 peratus pada tahun ini.

“Bagaimanapun, kami masih mengekalkan momentum cemerlang, malah berusaha untuk mengembangkan perniagaan sehingga mencapai 10 peratus pada tahun depan menerusi strategi serta aktiviti pemasaran agresif,” katanya pada sidang media selepas pelancaran produk baharu SHARP di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan CEP Sales, Tok Sang Man.

Pada masa sama, Takaya berkata, pelancaran produk baru keluaran SHARP semalam dilihat sebagai usaha menarik pelanggan sekali gus mencapai sasaran pulangan untuk tahun depan.

Majlis pelancaran produk baharu itu bertemakan ‘Inovasi. Perubahan. Inspirasi’ untuk pasaran 2016 dan 2017 antaranya TV LCD Aquos 8K diikuti siri terbaharu LCD TV 60 inci yang berharga antara RM3,999 hingga RM35,999.

Turut dilancarkan rangkaian model peti sejuk SHARP lima pintu bersaiz besar dengan rekaan unik, moden dikenali sebagai Siri Hikaru dengan harga bermula RM8,999 hingga RM11,999 yang akan di pasaran Disember ini.

Produk lain diperkenalkan ialah pendingin hawa mesra alam sekitar Siri UXD serta mempu yang memberi penjimatan tenaga sehingga 65 peratus dengan harga antara RM1,999 dan RM2,5999 dan bakal dijual di pasaran mulai Disember ini.

Bukan itu sahaja, penapis udara teknologi Plasmacluster Ion yang diperkenalkan semalam berupaya menapis bau dan bakteria sehingga 99 peratus dan dijual antara RM1,089 hingga RM1,299. Pencuci SHARP Ultrasonic bersaiz 200 gram adalah antara produk yang mendapat perhatian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 7:20 AM