NICOL (kanan) sedang dalam proses tukar corak permainan daripada bertahan kepada menyerang.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) Huang Ying How memohon agar peminat sukan itu tidak terus menghentam Datuk Nicol David rentetan berterusan kekalahannya.

Tegas Ying How ketika Nicol berada di zaman kejatuhannya adalah wajar untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dan bukannya terus mengkritik dan mencari salah pemain itu.

Kehebatan Nicol menjadi fenomena apabila dia terlalu unggul pada era kegemilangannya dengan kejayaan mendominasi ranking pemain nombor satu dunia selama 109 bulan sebelum kebangkitan pemain Mesir.

Yin How berharap agar Nicol terus diberi ruang kerana beliau percaya ratu skuasy negara itu mampu bangkit.

“Bagi Nicol ruang. Dia pemain luar biasa dan mempunyai mental kuat.

“Saya cukup yakin dia akan cuba untuk kembali ke tahap terbaik kerana fizikalnya masih berada di tahap tertinggi dan mampu memberikan cabaran,” katanya.

Belum ada sebarang gelaran juara buat Nicol tahun ini selepas kali terakhir menjulang trofi kejuaraan di Terbuka Hong Kong Disember lalu dengan pencapaian terbaik Nicol musim ini hanya mara ke separuh akhir.

Malah Yin How turut tidak mahu memberi komen berhubung prestasi Nicol bagi mengelak pemain itu berada dalam keadaan tertekan.

Bagaimanapun beliau berkata, prestasi Nicol kini tidak menurun sebaliknya pemain itu sedang menjalani transisi menukar corak permainannya kepada menyerang berbanding bertahan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 6:31 AM