PENGANUT Kristian hadir beramai-ramai di sebuah gereja di Peshawar untuk sesi berdoa mengenang mangsa serangan Taliban, semalam.

London: Petinju Inggeris yang pernah memenangi gelaran dunia, Amir Khan, ternyata begitu terkesan dengan keganasan Taliban menyerang sebuah sekolah dan membunuh lebih 140 orang pada 16 Disember lalu.

Amir yang mempunyai darah Pakistan berkata, dia akan ke lokasi malang itu antara menjelang tahun baru nanti untuk melawat tempat kejadian.

Kunjungan itu, kata Amir, 28, bukan saja untuk menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa, malah cuba membina semula sekolah yang dimusnahkan itu.

“Kanak-kanak yang terbunuh itu tidak berdosa.

“Mereka tidak terbabit dengan apa-apa, tetapi Taliban membunuh kanak-kanak berkenaan. Taliban membunuh rakyat sendiri,” katanya.

Amir menderma seluar dipakainya ketika mengalahkan Devon Alexander pada minggu lalu dan ia berjaya mengumpul £30,000 (RM163,426).

Dia memutuskan untuk mendermakan wang berkenaan ke sekolah terbabit walaupun mungkin berdepan ancaman daripada militan.

Tanpa menapis kemarahannya, Amir berkata, tindakan Taliban membunuh guru di depan kanak-kanak sekolah tindakan manusia tidak berakal.

“Ia amat menjijikkan,” katanya.

Dia mahu membuktikan dirinya adalah individu yang boleh menyumbang kepada masyarakat.

“Sebagai seorang Muslim dan warganegara yang baik, penduduk setempat perlu menjadi seperti saya dan berkata benar,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 5:03 AM