Mohd Hanafis Abdul Haris
hanafis@hmetro.com.my


Tangkak: Mangsa pembunuhan kejam yang anggota badannya dikerat di sebuah rumah di Jalan Kesang Laut, di sini, Ahad lalu dikenali sebagai Omar Miskam berusia 49 tahun.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, mangsa berasal dari Panchor,Muar.

Menurutnya,mangsa yang sudah beristeri, bekerja sebagai seorang pemandu jengkaut di sekitar daerah ini dan mangsa dipercayai ditetak terlebih dahulu di kepala menggunakan parang sebelum mayatnya dikerat.

"Bedah siasat juga mendapati mangsa dikerat lebih sepuluh bahagian termasuk kepala, kedua-dua kaki dan tangan, abdomen dan beberapa anggota badan lain," katanya.

Mohad Idris berkata,berikutan itu juga dua lagi suspek termasuk seorang wanita berusia antara 19 hingga 56 tahun ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan.

Ahad lalu, mayat mangsa ditemui oleh salah seorang penghuni rumah terbabit yang menemui pergelangan kaki manusia berdekatan saluran pembetung di tempat meletak kereta kediaman terbabit.

Kepala mangsa pula ditemui beberapa meter dari lokasi penemuan bahagian anggota lain.

Kelmarin seorang suspek yang juga orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah ketidakupayaan pembelajaran ditahan tidak lama kemudian dan remaja berusia 19 tahun itu kini direman sehingga 13 November depan bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 6:56 PM
Mohad Idris menunjukkan gambar Omar yang dibunuh dan dikerat Ahad lalu. FOTO Syarafiq Abdul Samad