TERCETUS daripada falsafah Yunani mengisahkan kematian pahlawan.
TERCETUS daripada falsafah Yunani mengisahkan kematian pahlawan.
TERCETUS daripada falsafah Yunani mengisahkan kematian pahlawan.
Nor Hanisah Kamaruzaman
am@hmetro.com.my

Sekali pandang, kerja tangan Siti Nor Hidayah Mohamad Mokhtar, 30, kelihatan seperti karya lukisan menggunakan pensel atau dakwat pen.

Namun, selepas melihat dan menghayati dengan lebih dekat, karya yang diberi nama ‘Drama Tragedi’ itu sebenarnya terhasil menggunakan medium ‘glaze’ di atas seramik dengan teknik lukisan ‘pointillism’.

Teknik yang memerlukan ketelitian, tumpuan dan kesabaran yang tinggi itu menguji pelukis untuk bijak dan berhati-hati dalam menyusun atur setiap titik.

Menurut Hidayah, walaupun teknik berkenaan mengambil masa lama tapi hasil yang diberikan cukup berbaloi.

Mendapat inspirasi daripada pembacaan, Hidayah berkata dia mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan karya berkenaan.

“Saya suka membaca antaranya buku ahli falsafah, jadi karya ini tercetus daripada falsafah Yunani yang mengisahkan kematian pahlawan.

“Saya juga ambil kira keadaan dan orang di sekeliling untuk dijadikan sumber inspirasi. Sebagai contoh saya lukis figura perempuan kerana melambangkan diri saya yang juga perempuan,” katanya.

Katanya lagi, medium ‘glaze’ iaitu sejenis bahan kimia yang digunakan untuk mewarna seramik digunakan untuk membuat warna itu lebih tahan lama.

“Berbanding dakwat, ‘glaze’ lebih tahan lama, tidak mudah terpadam dan selepas siap melukis, ia akan melalui proses pembakaran pula,” katanya.

Pemenang tempat pertama kategori seni halus Inisiatif Seni Nando’s 2016 (NAI 2016) itu turut berkata, dia kini dalam proses menyiapkan satu koleksi rentetan karya ‘Drama Tragedi’ untuk pameran solonya yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Saya sedang siapkan beberapa karya untuk dipamerkan dalam satu pameran solo yang dijangka berlangsung pada tahun hadapan.

“Dalam karya berkenaan, saya masih gunakan teknik dan gaya yang sama cuma isu yang ingin diketengahkan sedikit berbeza dan lebih bersifat umum,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Halus pengkhususan lukisan itu berpendapat, bidang seni mampu membawa artis ke hadapan sekiranya kemahiran dan karya dipelbagaikan.

“Seni halus ada banyak cabang, jadi sebagai artis kita perlu jadi serba boleh. Contohnya, walaupun saya belajar khusus lukisan tapi turut menghasilkan karya seramik kerana mahu jadi artis serba boleh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 12:39 PM