STACY tarik diri daripada saingan separuh akhir Muzik Muzik 31 berikutan hamil 6 bulan.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Keputusan Stacy menarik diri daripada saingan separuh akhir kedua Muzik Muzik 31, Jumaat ini disebabkan faktor kesihatan memandangkan dia kini hamil enam bulan.

Stacy, 26, atau nama sebenarnya Ummu Syaikhah Stacy Anam yang sepatutnya menyampaikan lagu Romeo berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana tidak mahu memudaratkan dirinya.

Mimie daripada One Nation Emcee akan menggantikan Stacy menyanyikan lagu ciptaan Akim Ahmad itu.

“Mungkin ramai tertanya-tanya dan terkejut dengan keputusan ini, tetapi selepas berbincang dengan Akim dan pihak pengurusan, ini adalah jalan terbaik. Bukan apa, saya tak nak mengambil sebarang risiko kerana pada usia kandungan sekarang apa saja kemungkinan boleh berlaku.

“Lagipun, ini pengalaman pertama saya mengandung. Jadi saya tak berani nak mengambil sebarang risiko. Tambahan pula, ada ketika keadaan kesihatan dan emosi saya tak menentu. Justeru sebelum apa-apa terjadi dan menyusahkan pihak lain pada saat akhir, lebih baik saya tarik diri. Saya percaya Mimie mampu menyampaikan lagu itu dengan caranya tersendiri,” katanya.

Pada masa sama, Stacy yang sudah tujuh kali layak ke Anugerah Juara Lagu (AJL) tidak berasa ralat apabila menarik diri pada edisi kali ini.

Stacy yang mula mencipta nama menerusi lagu Aku Stacy pada 2008 menganggap rezeki ada di mana-mana dan dia tidak pernah berputus asa untuk memeriahkan acara berprestij itu.

Bagaimanapun, Stacy masih aktif menyanyi dan menerima undangan nyanyian.

“Tidak semua tawaran menyanyi saya tolak. Ia bergantung kepada acara dan permintaan pihak penganjur. Jika ia tidak terlalu membebankan, saya cuba laksanakan.

“Setakat ini, kalau ada tawaran di luar Lembah Klang atau memerlukan perjalanan jauh saya cuba pertimbangkan. Apa pun, segalanya perlu berbincang dengan suami terlebih dahulu,” katanya.

Kadang-kadang cepat marah dan merajuk

Berkongsi mengenai keadannya kini, Stacy mengakui dia mengalami pertambahan berat badan yang mendadak sehingga membuatkan wajah dan bentuk tubuhnya kelihatan berisi.

“Alhamdulillah keadaan saya sekarang sihat, tapi semakin gemuk. Memandangkan usia kandungan sudah enam bulan, jadi selera makan saya bertambah. Saya bersyukur tidak mengalami sebarang alahan yang teruk cuma muka berjerawat.

“Selain itu, sejak mengandung emosi saya menjadi lebih sensitif. Ada saja perkara yang tak kena sehingga membuatkan saya cepat marah dan merajuk meski ia membabitkan perkara remeh,” katanya.

Namun, Stacy beruntung apabila Akim yang juga suaminya lebih memahami dan tidak mudah terasa hati.

“Pada awalnya timbul juga pergaduhan disebabkan perubahan emosi saya itu. Tetapi lama-kelamaan, suami semakin faham. Malah dia tahu macam mana nak mengawal keadaan itu.

“Kalau nak tahu, seboleh-bolehnya dia tak nak saya melakukan kerja rumah. Bukan terlalu manjakan saya, tetapi dia seorang yang memahami dan mengambil berat,” katanya.

Belum tahu jantina anak

Ditanya mengenai jantina bayi dalam kandungannya, Stacy belum mendapat sebarang kepastian.

Disebabkan itu, dia dan Akim belum membuat sebarang persiapan dari segi kelengkapan bayi yang bakal lahir.

“Buat masa sekarang, kami belum membuat sebarang persiapan. Kami merancang apabila kandungan mencecah tujuh bulan baru nak berbuat sedemikian. Bukan apa, kami mahu memastikan jantina anak jadi tidaklah ia membazir.

“Insya-Allah pemeriksaan berikutnya baru boleh dipastikan. Namun, saya dan suami tak kisah jantina anak asal saja bayi itu sihat dan sempurna,” katanya.

Stacy berkata, dia dijangka bersalin pada hujung Februari tahun depan. Menariknya bayi itu bakal berkongsi bulan kelahiran dengan anak angkatnya, Bella yang kini berusia empat tahun.

“Selain suami dan keluarga, Bella adalah orang yang paling teruja. Setiap hari dia bertanya bila adiknya akan ‘keluar’ dari perut.

“Ada ketika dia juga bertanya jantina bayi dalam kandungan. Kalau hari ini dia kata nak adik lelaki, esok dia nak adik perempuan pula. Memang kelakar dibuatnya,” katanya yang mahu bersalin secara normal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 12:25 PM