Jutting
AFP

Hong Kong: Seorang ahli perbankan Britain dihukum penjara seumur hidup semalam selepas didapati bersalah membunuh dengan kejam dua wanita Indonesia yang turut diseksa di apartmennya di Hong Kong dalam kes yang dianggap antara paling keji berlaku di bandar itu.

Graduan Cambridge, Rurik Jutting, 31, bekas kakitangan Bank of America mengaku tidak bersalah membunuh Sumarti Ningsih, 23, dan Seneng Mujiasih, 26, pada 2014 atas alasan ‘tanggungjawab menyusut’ - pembelaan dari segi undang-undang menggambarkan ketakstabilan fikiran yang menjejaskan daya pemikirannya - akibat penggunaan dadah, alkohol dan gangguan seksual.

Juri sebulat suara memutuskan dia bersalah, semalam.

Hakim Mahkamah Tinggi Michael Stuart-Moore berkata: “Kes bunuh ini antara yang paling mengerikan dibicarakan dalam mahkamah di Hong Kong. Perbuatan tertuduh amat menjijikkan dan tidak tercapai akal manusia normal.

“Malah tertuduh juga tidak langsung menunjukkan rasa bersalah dan dia berkemungkinan besar akan membunuh lagi jika dibebaskan kelak.”

Sementara itu, peguam bela Tim Owen memaklumkan kepada mahkamah, Jutting akan memohon dipindahkan ke penjara di United Kingdom.

Dia turut membacakan surat permohonan maaf oleh Jutting kepada keluarga mangsa.

Sepanjang perbicaraan selama 10 hari itu, juri diberitahu Jutting menjadi taksub dengan seks ganas termasuk penyeksaan dan rogol.

Dalam keadaan mabuk dan khayal, dia menggunakan Sumarti untuk memainkan fantasinya dan menyeksa mangsa selama tiga hari yang direkodkan menggunakan iPhone miliknya. Rakaman itu disaksikan juri dalam perbicaraan berkenaan.

Dia kemudian membunuh Sumarti dengan mengelar lehernya sebelum menyumbat mayat mangsa ke dalam beg yang diletakkan di balkoni.

Beberapa hari kemudian dia membunuh Seneng dengan mengelar leher wanita itu di ruang tamunya.

Sementara itu, ibu Sumarti, Suratmi, 51, berkata di Indonesia: “Saya lega dengan keputusan ini tetapi sakit ini tidak akan sembuh. Saya kehilangan anak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 11:32 AM