PEMILIHAN Home Alone tepat bersempena cuti sekolah dan sambutan Krismas bulan ini.
GABUNGAN hebat visual dan persembahan muzik secara langsung oleh MPO menerbit­kan pengalaman hebat buat penonton.
POSTER filem Home Alone tetap kekal klasik.
Oleh Roslen Fadzil
roslen@hmetro.com.my

Kira-kira 24 tahun lalu, seorang kanak-kanak comel Kevin McCallister yang berusia lapan tahun, secara tidak sengaja ditinggalkan keluarganya di sebuah rumah di Winnetka, Illinois apabila mereka pergi bercuti ke Paris.

Semuanya berpunca daripada kenakalan Kevin sendiri yang dimarahi ayah dan ibunya selepas bertindak keterlaluan ketika majlis makan malam di rumah mereka.

Kesannya, Kevin disuruh tidur di atas loteng rumah mereka itu sehinggalah keesokannya apabila bangun tidur, menyedari semua orang sudah tiada.

Bagaimanapun, Kevin seorang kanak-kanak yang bijak dan pandai berdikari, malah berjaya menyelamatkan kediamannya daripada menjadi mangsa dua pencuri yang menceroboh masuk.

Itulah plot permulaan kisah Home Alone lakonan Macaulay Culkin, Joe Pesci, Daniel Stern dan Catherine O'hara arahan Chris Columbus yang diterbitkan Twentieth Century Fox pada 1990.

Mungkin anda juga sangat mengenali filem ini yang boleh dianggap salah sebuah filem komedi terhebat yang cukup ideal bagi tontonan seisi keluarga pada bila-bila masa bukan saja pada sambutan Krismas serta cuti sekolah.

Lebih dua dekad berlalu, Home Alone akhirnya muncul semula pada skrin besar di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur Khamis lalu menerusi satu persembahan unik dan luar biasa.

Dengan suatu konsep yang begitu istimewa, tayangan filem itu disempurnakan dengan iringan persembahan skor muzik secara 'live' oleh Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) pimpinan penggubah dan konduktor dari Sydney, Fabian Russell.

Ternyata ia suatu idea yang begitu segar dan bijak bagi peminat filem dan muzik tempatan menikmati semula tayangan Home Alone dalam format berbeza.

Apa yang membanggakan, sepanjang persembahan selama 128 minit bersama 20 minit rehat (interval) itu, MPO mampu mencernakan sakti dan menambah ekstravaganza ke atas skor muzik asal filem itu ciptaan komposer legenda John Williams.

Dengan teknologi canggih serta perancangan teliti cetusan IMG Artists, LLC dan Gorfaine/Schwartz Agency Inc, konsert bersama tayangan visual itu berjaya dizahirkan dengan cemerlang oleh MPO bersama kepimpinan Russell.

Ia jelas memberi satu kesan tontonan yang hebat, susulan kepada persembahan yang sama oleh MPO ke atas filem Psycho arahan Alfred Hitchcock, beberapa tahun lalu.

Disebabkan persembahan muzik yang terbaik dan bersahaja, kadangkala penonton seakan-akan terlupa bahawa mereka sedang menyaksikan konsert oleh MPO apatah lagi dalam cahaya yang samar-samar di depan pentas.

Malah seawal tayangan lagi, penulis begitu terpikat dengan muzik tema atau 'anthem' Twentieth Century Fox yang dimainkan dengan cemerlang serta saling tidak tumpah sebagaimana kita melihat di pawagam.

Turut mewarnai persembahan malam itu mengikut keperluan babak mahupun lakon layar adalah nyanyian koir. Lalu MPO memberi peluang keemasan itu kepada KL Children's Choir serta Young Choral Academy Youth Chorale untuk mempamerkan bakat mereka.

Sedikit mengenai pemimpin orkestra, Russell, 46, beliau adalah seorang pemuzik orkestra yang cukup disegani di Australia dan pernah menganggotai Melbourne Symphony Orchestra selain menjadi konduktor undangan bagi Australian Youth Orchestra, Monash Academy Orchestra, University of Melbourne Symphony Orchestra dan Victorian Opera.

John Williams, 82, pula tidak perlu diperkenalkan lagi kerana pemenang Oscar ini mencipta begitu banyak skor muzik untuk filem ternama Hollywood seperti The Poseidon Adventure, Star Wars, Jaws, E.T the Extra-Terrestrial, Raiders of the Lost Ark, Jurassic Park, Harry Potter, Saving Private Ryan, Memoirs of Geisha dan Lincoln.

Williams turut memberikan ucapan penghargaannya kepada MPO kerana sudi mempersembahkan karyanya di DFP dan berharap ia dapat mengembalikan ingatan penonton terhadap kegemilangan mahupun keseronokan Home Alone.

Turut hadir menyaksikan konsert itu, pelakon Rusdi Ramli bersama isterinya, komposer terkenal Malaysia, Sharon Paul Abdullah serta anak mereka, Reo Ridza. Selesai konsert, semua penonton pulang dengan wajah kepuasan dan mengharapkan ada lagi persembahan seumpama itu untuk filem lain.

Mungkin sebagai idea, penulis mencadangkan filem Hikayat Merong Mahawangsa boleh menjadi pilihan MPO dengan menampilkan juga Anuar Zain sebagai penyanyi lagu tema.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 5:02 AM