Antara anggota sindiket Macau Scam yang ditahan dalam serbuan semalam. - Foto Ihsan JSJK
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menahan 44 oranng, termasuk seorang lelaki tempatan kerana disyaki terbabit dengan penipuan Macau Scam dalam serbuan di dua premis di Mont Kiara dan Taman OUG di sini, semalam.

Ketua JSJK Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, serbuan jam 1 petang itu dilakukan hasil risikan dan maklumat polis China mengenai kegiatan sindiket berkenaan.

Katanya, polis menahan 37 lelaki dan enam wanita warga China dipercayai memperdaya mangsa di China menerusi panggilan telefon.

"Lelaki tempatan yang turut ditahan itu pula bertindak sebagai penghantar makanan kepada sindiket berkenaan.

"Siasatan mendapati semua suspek adalah kumpulan sindiket dari China yang menjadikan Malaysia sebagai pusat panggilan bagi melakukan penipuan," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Menurut Acryl, siasatan lanjut mendapati modus operandi mereka ialah membuat panggilan kepada orang awam di China mendakwa pembayaran barang dibeli individu berkenaan di sebuah pasar raya tidak diterima dan menuduh mangsa menggunakan identiti palsu atau kad kredit palsu sebelum memaksa mereka membuat bayaran semula.

Katanya, suspek turut memperdaya mangsa membuat bayaran dengan mengugut membuat laporan kepada polis serta bank pusat di China untuk membeku akaun mangsa.

“Bagaimanapun, tiada rakyat di negara ini yang menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan dan kita sudah memaklumkan tangkapan kepada pihak berkuasa China," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 12:19 AM