Tasha tiada niat perkecil. FOTO HM
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penyanyi Tasha Manshahar tidak berniat untuk memperkecilkan kemampuan Fazura sebagai penyanyi apabila memuat naik komen ‘hancur betul’ di Instagram peminatnya, baru-baru ini yang merujuk kepada persembahan Fazura bersama kumpulan Estranged menerusi lagu Hancur Aku di saingan separuh akhir Muzik Muzik 31, baru-baru ini.

Tasha, 24, ketika dihubungi berkata, komen itu sebenarnya ditujukan kepada pemilik Instagram berkenaan iaitu @srijuju yang memuat naik status ‘Hancur...hancur...aku’ yang merujuk kepada lirik lagu berkenaan.

“Semuanya hanya salah faham kerana komen ‘hancur betul’ itu memang bukan untuk Fazura dan saya pun tak tengok persembahannya. Kebetulan individu yang memuat naik gambar itu adalah ketua kepada kelab peminat saya dan komen berkenaan saya tujukan kepadanya dengan nada bergurau.

“Saya pun tidak tahu bagaimana nyanyian Fazura dalam program itu. Kalau betul dia menyanyi tak bagus malam itu, saya tiada hak langsung mengkritiknya secara terbuka kerana saya pun penyanyi,” katanya.

Tasha berkata, dia juga tidak sepatutnya mengkritik Fazura kerana dia sendiri menarik diri daripada membuat persembahan menerusi lagu Ragu Ragu bersama Syed Shahim dalam program yang sama kerana terikat dengan komitmen lain.

Menurut Tasha, Fazura adalah antara artis yang dikaguminya dan tiada sebab untuk dia ‘mengutuk’ pelakon dan penyanyi itu secara terbuka.

Tasha berkata, dia kesal dengan perkara itu dan meminta maaf jika ada yang terguris dengan komennya itu.

Dalam masa sama, Tasha juga tidak terkilan apabila ramai yang mengecamnya kembali termasuk mendakwa nyanyiannya tidak sebagus mana

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 8:11 PM