FAZURA nafi kesudian Ahmad Dhani bekerjasama kerana hubungan baik dengan pengurusnya.

Selepas single Sayangi Dirimu dan Hancur nyanyian duet bersama Estranged berjaya meraih perhatian ramai, Fazura kini dalam proses menyiapkan album sulung yang dijangka menjengah pasaran tahun depan.

Menariknya, setiap lagu bakal dimuatkan dalam album terbabit dihasilkan komposer hebat dalam dan luar negara termasuk Ahmad Dhani dari Indonesia.

Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 33, berkata, dia tidak menyangka dan gembira apabila banyak pihak sudi menjayakan album itu.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan pihak pengurusan bahawa Ahmad Dhani bakal menggubah lagu untuk saya.

“Bukan mudah dapat berkolaborasi dengan komposer terkenal sepertinya dan semua ini rezeki saya.

“Selain Ahmad Dhani, ramai juga komposert tempatan yang menyumbangkan lagu antaranya Omar K dan Estranged,” katanya.

Ditanya adakah Ahmad Dhani sudi bekerjasama kerana hubungan baik dengan pengurusnya, Iman Tang, Fazura menafikan perkara itu sekeras-kerasnya.

“Terus terang, persetujuan Ahmad Dhani tiada kena-mengena dengan pengurus saya. Memang mereka berkawan baik tetapi Ahmad Dhani yang menawarkan diri menyumbangkan sebuah lagu,” katanya.

Sedar dengan kemampuan vokalnya, Fazura selesa memilih lagu bergenre balada dan pop.

“Saya tahu tahap nyanyian saya dan kerana itu mahu teruskan konsep serta genre sama,” katanya.

Lebar Sayap

Siapa sangka, selepas 15 tahun mencanai bakat di persada seni tanah air Fazura berjaya menembusi pasaran Indonesia dan Filipina.

Fazura yang popular menerusi filem Manisnya Cinta Di Cappadoccia mengakui kerap ke Indonesia bagi memenuhi undangan ke majlis hiburan selain terikat dengan penggambaran filem terbaru.

“Alhamdulillah rezeki saya murah di negara jiran. Insya-Allah bulan depan saya bakal menjalani penggambaran filem ketiga di sana,” katanya.

Menyentuh desas-desus dia mahu menarik diri daripada menyertai pertandingan semi final Muzik-Muzik 31 yang berlangsung baru-baru ini, Fazura menegaskan ia fitnah.

“Saya tidak pernah menyuarakan hasrat mahu menarik diri. Lagipun, buat apa saya berundur sedangkan peminat bertungkus-lumus mengundi bagi memastikan lagu Hancur layak mara ke pentas semi final.

“Buktinya saya hadir membuat persembahan bersama Estranged. Kepada si pemfinah, cukup-cukuplah menabur cerita yang tidak benar,” katanya. -Najiy Jefri

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 2:06 PM