Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Pasir Mas: Perintah tahanan reman terhadap seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian melanggar pacuan empat roda menyebabkan seorang pegawai kastam cawangan Rantau Panjang maut dilanjut tujuh hari lagi di Mahkamah Majistret Pasir Mas, tadi.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Mohamad Izuddin Mohd Shukri terhadap suspek yang dikenali sebagai Mat Yeh, 34, bermula esok dan berakhir 15 November ini untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini suspek direman selama tujuh hari dan berakhir hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 320 Kanun Keseksaan.

Harian Metro 10 Oktober lalu melaporkan Pegawai Kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Anisah Ali, 54, maut selepas pacuan empat roda dinaiki bersama dua rakan sekerja dirempuh tonto.

Dalam kejadian jam 1.25 pagi, 7 Oktober lalu, Isuzu D-MAX dinaiki Anisah bersama dua rakan dipercayai dirempuh dan dihimpit Isuzu Trooper dinaiki tonto ketika mengejar penyeludup rokok sebelum terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan.

Anisah meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) jam 11.50 malam akibat kecederaan dalaman dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Aur Duri, Pasir Mas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 1:03 PM
Tempoh reman suspek dilanjutkan. FOTO Zaman Huri Isa.