PENYOKONG Hillary di Cleveland berhimpun di auditorium awam bandar itu.- AFP
AFP

Washington: Hillary Clinton dan Donald Trump semalam bertarung saat akhir untuk merebutkan beberapa negeri penting dalam kempen pilihan raya yang tinggal kurang 48 jam untuk tamat.

Setakat semalam masih tidak jelas sama ada Hillary - calon Demokrat - mampu meraih kesan positif daripada pengumuman Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bahawa dia tidak akan diambil sebarang tindakan berhubung skandal penyalahgunaan e-melnya ketika memegang jawatan setiausaha negara.

Populariti Hillary menurun selepas Pengarah FBI, James Comey tiba-tiba mengumumkan lapan hari lalu bahawa badan itu membuka semula siasatan terhadap Hillary.

Siasatan itu berhubung sama ada dia mendedahkan rahsia negara apabila menggunakan pelayan e-mel peribadi ketika memegang jawatan itu.

Pada masa sama, calon Republikan, Trump dilihat meraih lebih banyak penyokong dalam pada dia berdepan pelbagai tuduhan serangan seksual.

Calon bilionair berusia 70 tahun itu yang mendapat sokongan kuat golongan bawahan kulit putih terutama lelaki berada di Sarasota, Florida, semalam. Dia kemudian pergi ke Carolina Utara, Pennsylvania, New Hampshire dan Michigan.

Pada masa sama, Hillary, 69, turut berada di Carolina Utara dan Pennsylvania serta Michigan semalam dan kempennya juga disertai golongan selebriti termasuk bintang rock, Bruce Springsteen.

Dalam ucapannya, Hillary mengingatkan pengundi mengenai bahaya jika Trump menjadi presiden.

“Fikirkan sejenak apa yang akan kita rasa pada 9 November nanti jika kita gagal. Bayangkan apabila anak cucu kamu bertanya apa yang kamu lakukan pada 2016 sekurang-kurangnya saya berharap kamu mampu memberitahu mereka yang kamu mencuba sedaya-upaya mengundi untuk Amerika yang lebih kuat dan baik,” katanya.

Pasaran kewangan dunia turut menunjukkan kesan positif susulan pengumuman penutupan siasatan FBI terhadap Hillary semalam.

Namun pengulas menganggap ia tetap mampu menggugat peluang Hillary mengambil alih pemerintahan daripada Presiden Barack Obama apabila sokongan terhadapnya menurun dari 5.7 peratus kepada 2.9 peratus selepas skandal itu disebut-sebut sekali lagi, lapor laman web maklumat FiveThirtyEight.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 11:46 AM