Penumpang komuter yang terkandas akibat gangguan bagi semua laluan dari Stesen KTM Bank Negara ke Kuala Lumpur Sentral berikutan tren tergelincir petang tadi. - Foto Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perkhidmatan KTM Komuter bagi semua laluan dari Stesen KTM Bank Negara ke Kuala Lumpur Sentral mengalami gangguan berikutan tren kargo tergelincir petang tadi.

Pengurus Besar Pemasaran KTM Intercity Y M Hamdan Husori ketika dihubungi berkata, kelewatan perkhidmatan tren KTM Komuter berlaku kerana penutupan sementara laluan di sektor yang terjejas mulai 3 petang.

"Berlaku kelewatan kerana hanya satu daripada dua laluan sedia ada yang boleh digunakan. Perkhidmatan KTM Komuter dijangka pulih malam ini," katanya.

Tinjauan di stesen KTM Bank Negara mendapati sehingga 7 malam, masih ramai penumpang terkandas di stesen itu berikutan hanya satu laluan digunakan untuk ke destinasi Sungai Gadut, Sungai Buloh, Tampin dan Pelabuhan Klang.

Seorang penumpang Norfadilah Abdullah, 50, yang datang dari Lahad Datu, Sabah, bersama suami dan tiga anak terpaksa menunggu lebih sejam untuk menaiki tren komuter untuk pulang ke hotel penginapan mereka di Serdang.

“Saya harap masalah ini tidak berulang kerana kami perlu menghadiri majlis konvokesyen awal pagi esok di Dewan Maeps (Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang)," katanya.

Difahamkan tren kargo yang terbabit dalam insiden itu sedang dalam perjalanan ke depot Kuala Lumpur Sentral bagi penyelenggaran dan menurut jurucakap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), kerja baik pulih sedang giat dilakukan.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTMB di 1-300-88-5862 untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 10:24 PM