PU Faiz mengaku tak salah menyebabkan kecederaan terhadap seorang penceramah wanita di sekolah tahfiz di Kota Damansara, dua bulan lalu. FOTO Ghazali Kori
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


Petaling Jaya : Bekas naib juara program Pencetus Ummah (PU) musim kedua, Ahmad Faiz Faizuddin Rosli atau lebih dikenali sebagai PU Faiz, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang penceramah wanita di sekolah tahfiz di Kota Damansara, dua bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, PU Faiz, 27, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Nurul Intan Sakinah, 29, atas sebab kemarahan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pondok Rumi Sufi Jawi, Nombor 14-3, Tingkat 2, Seksyen 8/4, Seksyen 8, Kota Damansara, jam 2.30 petangpada 26 September lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua- duanya, jika disabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Disember ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 3:00 PM