Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Jalan Tanjung Bendahara berbaris untuk memasuki dewan bagi menjawab soalan Bahasa Melayu (Kertas 1). FOTO Amran Hamid.
HM Digital
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula hari ini dengan 434,535 calon menduduki peperiksaan kertas Bahasa Melayu (Kertas 1).

Di Selangor, seramai 75,543 calon menduduki SPM di 479 pusat peperiksaan termasuk 180 calon berkeperluan khas (CBK).

Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Salleh Mohd Kassim berkata, selain itu, seramai 19 calon mengambil peperiksaan di Penjara Kajang manakala 22 lagi menduduki SPM di hospital.

Di Putrajaya, seramai 1,395 calon menduduki peperiksaan itu di 10 pusat termasuk tujuh CBK.

Di Kuala Lumpur, seramai 21,812 calon menduduki SPM di 159 pusat peperiksaan hari ini.


Sebahagian calon mengaminkan doa sebelum memasuki dewan untuk menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menggunakan mesin braille di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besar. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Di Perlis, seramai 4,080 calon menduduki SPM di 36 pusat peperiksaan dengan 3,614 dari sekolah kerajaan dan 120 calon Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Di Kedah, seramai 34,157 calon termasuk 47 CBK menduduki SPM di 257 pusat di seluruh negeri.

Di Pulau Pinang, seramai 22,215 calon mula menduduki peperiksaan di 159 pusat peperiksaan di negeri ini pagi tadi.

Keadaan banjir menyebabkan 20 calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdullah Munshi terpaksa menaiki bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke sekolah kerana Jalan P Ramlee ditenggelami air.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) Mohd Jamil Mohamed berkata, selain SMK Abdullah Munshi dan SMK Mak Mandin di Butterworth turut terjejas.

Di Perak, seramai 37,706 calon menduduki SPM di 323 pusat peperiksaan di seluruh negeri hari ini.

Di Negeri Sembilan, seramai 17,360 pelajar menduduki SPM merangkumi 15,352 calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), MRSM (521), Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) (111), sekolah swasta (507) dan calon persendirian (869).

Di Melaka, seramai 14,766 calon menduduki SPM di 81 pusat peperiksaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri Datuk Md Yunos Husin berkata, mereka terdiri daripada 12,655 calon sekolah kerajaan, MRSM (706), Pusat GiatMara (tujuh), Henry Gurney (95), Tunas Bakti (59), sekolah swasta (210) dan persendirian (968).

Di Kelantan, seramai 31,782 calon menduduki SPM di 270 pusat peperiksaan merangkumi 23,492 calon sekolah kerajaan, MRSM dan GiatMara (791), Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) (421), Yayasan Islam Kelantan (YIK) (5,013), swasta (91) dan calon persendirian (1,974).

Di Terengganu, seramai 20,528 calon termasuk 40 CBK menduduki SPM di 169 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Di Pahang, seramai 22,324 calon SPM menduduki peperiksaan di 236 pusat peperiksaan.

Di Johor, seramai 52,616 calon menduduki SPM membabitkan 46,150 sekolah kerajaan dan 1,015 dari MRSM dan Giatmara.

Di Sarawak, seramai 36,263 calon menduduki SPM di 257 pusat peperiksaan merangkumi 32,971 sekolah bantuan kerajaan manakala swasta (1,437) dan calon persendirian (1,819).

Di Sabah, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Datuk Maimunah Shuhaibul berkata, seramai 40,604 calon menduduki peperiksaan SPM di 327 pusat peperiksaan di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 2:15 PM