Zarinawati melihat keadaan anaknya di HTA. FOTO Rokaid Chik
Rokaid Chik
am@hmetro.com.my


Pasir Puteh: Pelajar perempuan terpaksa melupakan hasrat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini selepas kereta yang dinaiki bersama bapanya bertembung dengan kereta lain berhampiran jambatan Kampung Banir Belikong, Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, Nurul Fakhira Husna Azmi, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman, di sini, patah paha kiri dan cedera di muka, manakala bapanya yang mengajar di sekolah sama Azmi Mahmud, 43, sakit dada.

Nurul Fakhira dan bapanya dikejarkan ke Hospital Tengku Anis (HTA), di sini, untuk mendapatkan rawatan sebelum pelajar itu dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Difahamkan kemalangan berlaku apabila Nurul Fakhira menaiki kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan ke sekolah untuk menduduki SPM pagi ini sebelum bertembung dengan kereta BMW yang datang dari arah bertentangan.

Dua lagi mangsa di dalam kereta BMW cedera ringan.

Ibu mangsa, Zarinawati Abdul Wahid, 44, berkata keluarganya terpaksa membuat keputusan menangguhkan peperiksaan SPM anak sulungnya itu selepas melihat kecederaan yang dialami mangsa

"Kami sangat sedih dengan kejadian ini kerana pada awalnya Nurul Fakhira Husna ingin meneruskan peperiksaan SPM, namun melihat keadaannya yang dalam kesakitan serta trauma kami memutuskan untuk menangguhkan," katanya ketika ditemui, di HTA, di sini, sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 1:59 PM