KAPAL yang terbakar ketika kerja penyelenggaraan dijalankan di tebingan sungai di Kawasan Industri Kemena, Jalan Bintulu-Tatau, hari ini. FOTO ihsan bomba
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


Bintulu: Kapal yang dalam penyelenggaraan tiba-tiba terbakar ketika berlabuh diKawasan Industri Kemena, Jalan Bintulu-Tatau di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tindakan pantas pekerja Kapal Marine Max III berjaya memadamkan kebakaran yang berlaku di kawasan dek.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Di Hata Gobel berkata, kebakaran dipercayai berlaku akibat percikan api kerana ketika itu kerja kimpalan dijalankan.

Menurutnya, pekerja kapal yang menyedari kebakaran segera memadamkan api menggunakan air daripada tangki kapal dan berjaya mengawalnya daripada merebak.

"Pemilik kapal tidak membuat panggilan kecemasan ke Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu kerana api sudah berjaya dipadamkan, tetapi bomba tetap hadir ke lokasi untuk pemantauan.

"Pemeriksaan mendapati kira-kira 60 peratus struktur kapal terbakar," katanya.

Katanya, tiada kecederaan dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 1:01 PM