PEMAIN Pakistan Ullah Sami (kiri) diasak pemain Australia Stephen Gale.

Johor Bahru: Australia muncul juara baharu selepas menewaskan Pakistan 3-1 pada aksi final kejohanan hoki Piala Sultan Johor di Stadium Taman Daya, malam tadi.

Pakistan terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ketujuh oleh Hassan Anwar namun Australia bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-13 menerusi situasi yang sama dihasilkan Frazer Gerrard.

Skuad kendalian Ben Bishop mendahului pada minit ke-47 selepas Govers mudah menyempurnakan penalti menewaskan penjaga gol, Ali Raza untuk mendahului 2-1 dan Govers mencetus malam gemilang buat Burras apabila meledakkan jaringan menerusi pukulan sudut penalti.

Sementara itu, Jepun melakar kejutan biarpun kali pertama menyertai kejohanan itu untuk menduduki tempat ketiga selepas menewaskan England 4-1 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 hingga tamat perlawanan.

Gol England dihasilkan pada minit ke-20 hasil gol padang Jack Clee namun pada minit ke-32 Miyu Tanimitsu berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi pukulan sudut penalti.

Ketika aksi tinggal beberapa saat sebelum babak pertama berakhir, Jack Waller meletak England selesa dengan jaringan 2-1 namun Kaito Tanaka bertindak melakukan pukulan kilas untuk mengikat jaringan 2-2 pada minit ke-55 dan kedudukan itu kekal memaksa kedua-dua pasukan diheret ke penentuan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 10:43 AM