Oleh Prof Madya Datin Dr Sapora Sipon

Saya pelajar sekolah menengah. Masalah saya ialah berkaitan ibu yang berlaku curang dengan seorang lelaki yang juga suami orang. Mereka berkenalan melalui medium sosial.

Saya dapat tahu mengenainya apabila saya terbaca perbualan mereka. Kini ibu sudah pandai dan kerap keluar malam. Saya juga sangat tertekan apabila mendapat tahu perbuatan ibu semakin melampau. Hati saya memang kecewa.

Namun, saya pendamkan masalah ini seorang diri. Saya sangat simpati pada ayah yang baik. Dia bekerja bersungguh-sungguh demi kesenangan kami.

Ibu pula berperangai sebaliknya. Saya begitu tertekan sehingga mengganggu fokus di sekolah tetapi tidak mahu melihat keluarga porak-peranda.

HATI SEORANG ANAK,

Kuala Lumpur

Dr memahami apa yang adik alami. Tiada yang lebih menyedihkan daripada melihat sebuah keluarga yang harmoni menjadi retak akibat kecurangan. Sebagai seorang anak, tentunya adik ingin melihat hubungan ibu bapa berada dalam kegembiraan tanpa sengketa yang melanda.

Dalam perhubungan suami isteri, perlakuan curang adalah satu perkara yang menakutkan.

Melihat kepada situasi yang adik hadapi, ayah adik seorang yang bersungguh-sungguh bekerja untuk mencari nafkah. Kita tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku sehingga menyebabkan ibu adik curang.

Mungkin ibu adik mencari kenalan di laman sosial untuk meluangkan rasa sunyi tetapi akhirnya terjebak ke arah negatif. Antara faktor kepada kecurangan di dalam rumah tangga apabila seorang isteri tidak diberi perhatian oleh suami kerana sibuk bekerja.

Namun, ini hanyalah jangkaan sahaja. Hanya ibu adik dan kekasihnya mengetahui cerita cinta mereka.

Sebagai anak, bukan mudah untuk memasuki dunia kehidupan orang dewasa, apatah lagi dunia kehidupan ibu bapa. Namun, adik boleh berusaha seperti mula rapat dengan ibu. Tunjukkan kasih sayang kepadanya dan jadi pendamping ibu adik supaya masalah yang dihadapi boleh dikongsi bersama.

Luahkan perasaan kecewa adik kepadanya. Katakan adik sayang kepadanya dan tidak mahu sesuatu yang lebih buruk terjadi jika diketahui ayah.

Andai adik tidak mampu melakukannya, carilah ahli keluarga yang dipercayai untuk menegur kelakuan ibu adik.

Namun, adakalanya cerita cinta mempunyai jalan cerita tidak seperti yang kita inginkan. Jika segala usaha sudah adik lakukan dan ibu tetap ada hubungan dengan kekasihnya, adik perlu mencari kekuatan diri untuk meneruskan kehidupan ini.

Binalah cerita adik sendiri dengan memberi fokus kepada pelajaran. Carilah kekuatan untuk berdiri dengan teguh walaupun badai mendatang. Memang bukan mudah tetapi ini adalah kenyataan hidup yang perlu adik tempuhi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 5:00 AM