Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kerja pelupusan naskhah al-Quran perlu diserah kepada urusetia atau Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri agar dapat dilupuskan dengan sempurna dan orang ramai perlu menghantar naskhah yang hendak dilupuskan kepada pejabat agama terdekat.

Jurucakap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, kerja pelupusan itu perlu dilakukan dengan cara tersembunyi demi mengelak salah faham orang ramai.

Beliau yang dihubungi di sini, hari ini, berkata demikian mengulas kejadian seorang pemilik kedai melakukan pembakaran naskhah al-Quran yang rosak di makan anai-anai secara terbuka di Jalan Kompleks Hijau, Puchong Perdana di sini, hari ini.

Siasatan polis mendapati, wanita pemilik kedai itu membakar kira-kira 20 naskhah al-Quran kerana kitab itu sudah rosak dan tidak berniat menghina agama, khususnya Islam. Bagaimanapun, seorang ahli kariah masjid As-Salam Puchong Perdana di sini, mengambil semua sisa naskhah al-Quran terbabit bagi tujuan pelupusan dengan cara lebih sempurna.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pembakaran yang dilakukan wanita itu tidak mengikut prosedur ditetapkan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Menurut jurucakap Jakim itu, muzakarah jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia memutuskan al-Quran yang rosak, koyak, yang tidak lagi boleh dibaca dan yang bukan resam Uthmani hendaklah dilupuskan.

Katanya, kaedah pelupusan ayat al-Quran dengan cara pembakaran hendaklah menyeluruh tanpa tertinggal mana-mana bahagian yang tidak terbakar.

“Bahan-bahan atau debu mengandungi ayat suci al-Quran yang sudah dibakar hendaklah dipastikan dikumpul supaya tidak ditiup angin atau bersepah.

"Bahan yang sudah dibakar hendaklah ditanam di tempat bersih atau tempat yang tidak dilalui orang atau dibuang ke dalam laut atau sungai yang mengalir airnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2016 @ 10:01 PM