PILIHAN penggemar gulai patin tempoyak.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Isi ikan patin yang segar dan lembut ‘disirami’ kuah gulai tempoyak pekat menjadi buruan penggemar sajian popular dari Temerloh, Pahang, itu kini boleh dinikmati di Restoran Go’Bang Maju Patin Tempoyak, Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur.

Kuah gulai tempoyak memiliki rasa masam dan manis digabungkan bersama patin sangkar mahupun patin buah, menghasilkan cita rasa yang sangat menyelerakan, apatah lagi jika dijamu ketika panas.

Bagi penggemar tegar gulai patin tempoyak, kepuasan pastinya terlerai sebaik menikmati bahagian kepala ikan patin serta hirupan kuah yang kaya dengan aroma daun kesum dan bunga kantan.

Dengan tahap kepedasan sederhana, sajian itu juga boleh dinikmati oleh pelanggan pelbagai peringkat umur.

Menurut rakan kongsi restoran yang berpusat di Temerloh ini, Azmi Jalil, pemilihan ikan patin dan tempoyak menjadi keutamaan pihaknya dalam mengekalkan kualiti terbaik buat pelanggan.

“Semua ikan patin didatangkan khas dari Temerloh sama ada patin sangkar mahupun patin buah, isinya lembut dan tidak berbau lumpur. Manakala tempoyak pula, kita hanya menggunakan tempoyak dihasilkan daripada durian D24 dan juga durian kampung di daerah sama.

“Resipi gulai patin tempoyak ini pula adalah warisan keluarga pemilik Restoran Go’Bang Maju Patin Tempoyak, Rizal Rosli,” katanya.

Menu pilihan lain termasuk pais ikan talapia dan ikan patin. Keunikannya, ia dihidangkan panas dan hanya dibakar sebaik menerima pesanan pelanggan.

Ikan disaluti pes istimewa hasil kombinasi tempoyak, cili padi, kunyit dan herba tempatan ini akan dibalut menggunakan daun pisang sebelum dibakar sekali gus menghasilkan rasa dan aroma menyelerakan.

Selain itu, siput sedut masak lemak antara menu popular dan sering mendapat perhatian penggemar sajian kampung.

Menggunakan santan segar bagi menghasilkan kuah enak, gabungan ramuan seperti bawang besar, bawang putih, asam keping, kunyit, cili padi, daun kunyit, daun kaduk dan serai melengkapkan rasa.

Bagi penggemar sajian udang galah, mereka juga boleh mencuba pelbagai gaya masakan sama ada goreng kunyit, masak cili ala Thai mahupun gulai masak lemak.

Menariknya, pelanggan tidak hanya boleh menjamu gulai patin tempoyak, bahkan menikmati pelbagai jenis ikan sungai yang lain termasuk ikan baung, ikan kerai dan ikan seluang.

Memulakan operasi seawal jam 11.30 pagi hingga 10 malam, pelanggan boleh menikmati menu gulai patin tempoyak dan pelbagai jenis pais ikan sepanjang hari.

Memuatkan hampir 200 pelanggan dalam satu masa, restoran ini tidak sahaja beroperasi di Temerloh dan Setapak, bahkan di selatan tanah air, Plaza Larkin, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2016 @ 5:01 AM