PENDUDUK bandar Gogjali di timur Mosul yang melarikan diri kerana keganasan berterusan di Mosul menaiki trak yang membawa mereka ke kem pelarian berhampiran Gogjali. - AFP
Agensi

Mosul: Komando tentera Iraq yang memasuki Mosul semalam dengan menggunakan kereta kebal dan jentolak berdepan tentangan sengit, termasuk serangan bom dari kumpulan Daish yang mempertahankan bandar berkenaan.

Pasukan khas dari Perkhidmatan Memerangi Keganasan itu menyerang kejiranan Al-Karamah di timur bandar raya berkenaan, kali pertama mereka memasuki bandar itu sejak serangan untuk menguasainya semula bermula 17 Oktober lalu.

Komander pasukan berkenaan, Muntadhar Salem berkata, anggota Daish melepaskan tembakan tanpa henti. Kumpulan itu juga menyekat jalan raya dan menanam bom di sepanjang jalan untuk melengahkan kemaraan tentera Iraq.

Serangan udara pakatan tentera yang diketuai Amerika Syarikat dilancarkan secara besar-besaran dua hari sebelum ini sebagai persediaan untuk kemaraan itu.

Tentangan di Al-Karamah berlaku walaupun laporan tersebar beberapa minggu lalu kononnya pegawai kanan Daish sudah meninggalkan kawasan di timur Mosul itu dan menyeberang Sungai Tigris untuk mengukuhkan kedudukan mereka di tebing barat sungai itu.

Kira-kira 3,000 hingga 5,000 anggota Daish dipercayai masih berada di Mosul, bandar kedua terbesar Iraq, tempat lebih sejuta orang awam didakwa terperangkap.

Dalam ucapannya yang disiarkan kelmarin, pemimpin Daish, Abu Bakr al-Baghdadi menggesa pengikutnya mempertahankan bandar berkenaan.

Bagaimanapun, ada laporan menyatakan, Abu Bakr yang mengisytiharkan kerajaan khalifah yang diketuainya di bandar raya itu, meninggalkan Mosul beberapa hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 9:12 AM