HILLARY diiringi penyanyi dan penulis lagu, Pharrell Williams (tengah) ketika berkempen di Durham, Carolina Utara, semalam. - AP

Washington: Hillary Clinton dan Donald Trump semalam bersedia menghadapi hujung minggu terakhir menjelang tarikh akhir pilihan raya Presiden 8 November ini untuk memujuk orang ramai keluar mengundi mereka dalam kempen yang semakin sengit.

Ketika mereka berusaha menguasai negeri atas pagar yang penting dalam menentukan keputusan akhir pilihan raya, dua negeri paling utama - Florida serta Carolina Utara - menyaksikan kedudukan kedua-dua calon itu kini hampir sama banyak, mengikut kiraan RealClearPolitics.

Hillary yang juga calon Parti Demokrat mendapat sokongan veteran dihormati, termasuk Presiden Barack Obama untuk mengukuhkan kempennya, manakala calon Republikan, Trump, menggunakan sepenuhnya isterinya, Melania untuk ‘melembutkan’ imej kempennya.

Carolina Utara tiba-tiba menjadi lokasi hangat apabila kedua-dua calon berada di negeri tenggara Amerika Syarikat itu yang melihat mereka masing-masing mendapat sokongan 46.4 peratus.

Dalam ucapannya di Raleigh, Hillary yang disertai bekas lawannya, Senator Bernie Sanders dan penyanyi Pharrell Williams berkata: “Kamu semua mesti keluar mengundi, pujuklah semua orang yang kamu kenal supaya berbuat demikian.

“Cara terbaik untuk menolak ketaksuban, bongkak, pembulian, diskriminasi dan retorik menjijikkan (oleh Trump) adalah dengan keluar beramai-ramai untuk mengundi.”

Williams dalam ucapannya menggesa masyarakat Afrika Amerika membuat pilihan terbaik untuk komuniti itu.

“Hitam itu indah! Jika kamu pernah digelar golongan minoriti walaupun sekali, keluarlah mengundi dan buktikan kepada dunia bahawa kitalah majoriti,” katanya.

Sementara itu, semalam, Trump menuju ke New Hampshire, Ohio dan Pennsylvania, manakala Hillary pula menemui penyokong di Ohio serta Michigan.

Survei kebangsaan dijalankan CBS/New York Times menunjukkan Hillary kini cuma mendahului Trump sebanyak tiga mata, iaitu 45 peratus berbanding bilionair itu, 42 peratus.

Ia secara tidak langsung menunjukkan Trump semakin mampu meyakinkan pengundi Republikan.

Kempen Hillary akan berakhir di Philadelphia pada hari sebelum pilihan raya yang bakal mengetengahkan dua pasangan suami isteri Demokratik paling penting - dia dan suaminya Bill, serta Obama dan isterinya Michelle yang memainkan peranan penting sepanjang kempen berlangsung. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 9:12 AM