MOHd Said (dua kiri) menunjukkan komponen pendingin hawa dan motosikal yang dirampas. FOTO Rozainah Zakaria
Shamsudin Husin
am@hmetro.com.my


Chukai: Tiga lelaki yang disyaki memecah masuk Dewan komuniti Masyarakat Cina Kemaman, di sini, pada 21 Oktober lalu ditahan polis Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, tiga suspek berkenaan bersama dua lagi rakannya berusia antara 25 hingga 35 tahun disyaki memecah masuk dewan komuniti terbabit dengan memecah pintu depannya menggunakan kapak.

Menurutnya, mereka dipercayai melakukan jenayah terbabit pada waktu tengah malam hingga awal pagi dan melarikan komponen pendingin hawa yang dianggarkan bernilai RM10,000.

"Siasatan polis menemui semula komponen berkenaan dan sebuah motosikal.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan polis turut memburu dua lagi rakannya yang disyaki turut terbabit sama," katanya ketika sidang media di IPD Kemaman, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 3:36 PM