MINYAK masak yang dibotolkan semula. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


Parit Buntar: Premis kedai runcit di Batu 5, Jalan Baru, di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), semalam selepas didapati mengisi minyak masak tamat tempoh ke dalam botol mineral untuk dijual.

Dalam serbuan 3.45 petang itu, KPDNKK merampas tujuh botol minyak masak yang diisi dalam botol mineral 1.5 liter di kedai berkenaan selepas menerima aduan orang awam.

Ketua KPDNKK cawangan Parit Buntar, Mohd Fazly Edros berkata, siasatan awal terhadap pemilik kedai berkenaan mendapati minyak masak berkenaan dijual untuk kegunaan upacara sembahyang namun rampasan tetap dibuat kerana bimbang minyak masak itu disalahguna.

Katanya, KPDNKK bimbang sekiranya minyak masak itu dibeli oleh peniaga dan digunakan untuk memasak sekaligus boleh menyebabkan kemudaratan terhadap kesihatan pengguna.

"Minyak masak berkenaan dijual dengan harga RM3.30 sebotol dan terdapat notis tertera 'Minyak Sembahyang' namun kita tetap merampas kerana kesalahan penjenamaan semula.

"Kegiatan ini dipercayai sudah dijalankan sejak seminggu lalu dan tindakan kompaun sebanyak RM1,000 dikenakan mengikut Perintah Kawalan Harga (Pelabelan oleh Pekilang, Pengimport ,Pengeluar atau Penjual Borong 1980)," katanya.

Sementara itu, Mohd Fazly berkata, KPDNKK memberi jaminan minyak masak di daerah ini mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 2:11 PM