KENDERAAN yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Facebook IRDK
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


Kuala Krai: Lelaki maut dan tiga cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 83 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat kampung Peria, di sini, 11 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, mangsa, Shamsudin Jaafar, 48, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa, dekat Pasir Puteh yang memandu kereta maut di lokasi kejadian.

Katanya, kemalangan berlaku apabila mangsa bersama isteri dan seorang anak lelaki yang dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kota Bharu cuba memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan van dari arah bertentangan.

"Akibat pertembungan itu, kereta mangsa berpusing sebelum merempuh lori yang berada di belakang van.

"Rempuhan itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk dan maut di lokasi kejadian. Manakala, isteri dan anak mangsa serta pemandu van mengalami cedera ringan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 11:23 AM