SEORANG lelaki memprotes membawa mayat bayi yang terbunuh dalam serangan udara di Kunduz. - AFP

Kunduz (Afghanistan): Sekurang-kurangnya 30 orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara NATO semalam di Kunduz, utara Afghanistan, kata pihak berkuasa.

Kejadian berlaku awal pagi semalam (waktu tempatan) selepas pertempuran yang mengakibatkan dua askar Amerika Syarikat (AS) dan tiga anggota pasukan khas Afghanistan terbunuh dalam operasi anti-Taliban di situ.

Tidak jelas sama ada dua kejadian itu ada kaitan, tetapi ia mengetengahkan keadaan yang dilihat semakin tidak selamat selepas Taliban menguasai Kunduz bulan lalu untuk kali kedua dalam setahun.

Jurucakap kerajaan wilayah, Mahmood Danish berkata: “Gabungan tentera termasuk askar Afghanistan melancarkan operasi bersama terhadap pemberontak Taliban.

“Akibat serangan itu, 30 orang awam terbunuh manakala 25 lagi cedera.”

Sementara itu, jurucakap polis Mahmoodullah Akbari berkata, mangsa yang maut termasuk bayi sekecil tiga bulan dan kanak-kanak lain.

“Semuanya tidur ketika serangan dilancarkan,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, NATO mengaku peranannya dalam serangan udara berkenaan.

“Kami melancarkan serangan udara di Kunduz untuk mempertahankan sekutu kami yang menghadapi serangan.

“Kami akan menyiasat dakwaan berlaku kematian orang awam,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, orang ramai melakukan bantahan di Kunduz selepas serangan berkenaan dengan puluhan anggota keluarga mereka yang maut berhimpun di luar pejabat gabenor dengan mengarak mayat mangsa.

Buruh, Taza Gul, 55, berkata: “Hancur hati saya. Tujuh anggota keluarga terbunuh.

“Saya mahu jawapan, kenapa kanak-kanak yang tidak berdosa ini turut menjadi mangsa?

“Adakah mereka anggota Taliban? Bukan! Mereka cuma budak kecil!” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 7:47 AM