CHE Ghazali (depan, dua kanan) menunjukkan sebahagian ubat batuk yang dirampas. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


Langkawi: Seramai 95 individu termasuk dua wanita dan tiga warga asing ditahan dalam Operasi Bersepadu membanteras penyalahgunaan dadah selama tiga hari di sini, berakhir semalam.

Semua suspek berusia antara 18 hingga 47 tahun itu ditahan dalam operasi anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, dalam operasi itu polis turut menahan sembilan tokan dadah berusia antara 25 dan 43 tahun, selain merampas 105 gram heroin daripada mereka.

"Sembilan suspek terbabit dipercayai pengedar dadah secara kecil-kecilan yang bergiat aktif di pulau ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

"Lain-lain tangkapan adalah membabitkan masing-masing seorang suspek untuk Seksyen 39A (1) dan 39A (2), diikuti masing-masing empat suspek bawah Seksyen 12 (2) serta 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya pada sidang media di IPD Langkawi, hari ini.

Che Ghazali berkata, tangkapan terbesar dalam operasi kali ini adalah membabitkan seramai 70 individu bagi kesalahan bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah.

"Seterusnya polis juga menahan tiga individu bagi kesalahan Seksyen 30 Akta Racun 1952 dan lima lagi bagi kesalahan bawah Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

"Seorang lelaki berusia 47 tahun turut ditahan kerana memiliki 18 liter cecair daun ketum, 10 kilogram daun ketum dan 600 botol ubat batuk.

"Cecair ketum itu dipercayai dibuat untuk kegunaan sendiri, selain sebahagiannya adalah untuk diedarkan secara pasaran gelap sekitar Langkawi.

"Siasatan awal mendapati lelaki itu menjalankan aktiviti mencampurkan air ketum dan ubat batuk itu dalam minuman bergas dan menjualnya pada harga RM10 sebotol," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 6:56 PM