Balak yang dirampas di Hutan Simpan Bukit Bauk, Dungun, pagi tadi. FOTO Ihsan Jabatan Perhutanan Terengganu
Zatul Iffah Zolkiply
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Dua lelaki termasuk pemilik kilang papan di Pasir Gajah, Chukai ditahan selepas dipercayai memiliki lebih 150 batang balak hasil sindiket pembalak haram di Hutan Simpan Bukit Bauk, Dungun, pagi tadi.

Lelaki berusia 53 tahun dan pekerja warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an itu ditahan dalam satu serbuan dijalankan Jabatan Perhutanan Terengganu di Pasir Gajah, Kemaman kira-kira jam 11 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, pihaknya turut menyita empat mesin memproses kayu selain merampas lebih 150 batang kayu balak pelbagai spesias yang dipercayai dimiliki tanpa lesen sah.

"Serbuan di kilang itu dilakukan hasil maklumat yang diperoleh pihak risikan selepas menyerbu Hutan Simpan Bukit Bauk, Dungun pada Isnin lalu.

"Dua suspek yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara kerana memiliki hasil hutan secara menyalahi undang-undang," katanya.

Ahmad Fadzil berkata, pihaknya masih dalam proses mengenal pasti spesias kayu balak yang dirampas di kilang berkenaan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Semalam, akhbar melaporkan dalam tempoh dua bulan, 20 hektar kawasan tadahan hujan di Hutan Simpan Bukit Bauk, Dungun, gondol 'dibaham' sindiket pembalak haram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 10:23 PM