Empat mayat warga Myanmar yang ditemui dalam semak di tepi jalan di Bachok, Kelantan, minggu lalu. - Foto Fail
BERNAMA

Kuala Klawang: Pembunuhan kerana perbezaan agama adalah perbuatan tidak bertamadun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, semua pihak perlu menghormati kepelbagaian agama, bangsa dan budaya untuk memastikan keharmonian hidup bermasyarakat dapat dipelihara.

"Islam mengajar kita menyantuni semua manusia bahkan haiwan, alam dan sebagainya walaupun kita berbeza akidah, bangsa, budaya, bahasa dan etnik.

"Peristiwa pembunuhan kerana perbezaan agama ini sesuatu yang amat terkebelakang tamadunnya dan ia dikecam masyarakat dunia yang bertamadun,” katanya mengulas pembunuhan kejam empat warga Myanmar dipercayai berpunca daripada pergaduhan membabitkan agama di Bachok, Kelantan, baru-baru ini.

“Kita seharusnya memperlihat ketinggian budaya dan kebijaksanaan kita menghormati orang dan sebagainya," katanya selepas menghadiri Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Jelebu Tahun 2016/1438H di

sini.

Menurutnya, pembunuhan itu adalah sesuatu yang amat dikesali dan sesuatu yang menyentuh semua masyarakat dunia kerana ia bukan hanya soal perbezaan agama, juga menyentuh kemanusiaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 6:31 PM