KEADAAN kembali normal di LTSIP setelah pesawat yang tergelincir dari landasan dialihkan malam tadi. FOTO Zaman Huri Isa
Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


Kota Bharu: Landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini yang ditutup sementara malam tadi susulan sebuah pesawat tergelincir, beroperasi seperti biasa bermula 6 pagi, hari ini.

Difahamkan, pesawat pertama mendarat adalah penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang tiba pada 7.50 pagi.

Pengurus LTSIP, Ramzi Ahmad ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

"Operasi mengalihkan pesawat jenis Airbus A320 itu dari landasan selesai sepenuhnya pada 5.45 pagi, membolehkan landasan dibuka seperti biasa mulai 6 pagi.

"Tiada kerosakan pada lantai landasan, manakala pesawat itu dialih menggunakan kren dan ditempatkan di ruangan menunggu," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi itu bermula sejurus pesawat tergelincir kira-kira 10 malam termasuk urusan memindahkan 183 penumpang yang terperangkap dalam pesawat ke terminal.

Katanya juga, punca kejadian itu akan disiasat Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan badan bertanggungjawab.

Malam tadi, ratusan penumpang terkandas di LTSIP susulan sebuah pesawat tergelincir apabila tayar depan dan belakang kiri pesawat terbenam dalam tanah di bahu landasan.

Penerbangan mereka dijadual semula secara berperingkat pagi ini.

Sementara itu, AirAsia dalam satu kenyataan berkata, kesemua penumpang dan kru selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.

Syarikat penerbangan itu turut menyediakan semua keperluan untuk penumpang yang terjejas.

Semua pesawat AirAsia beroperasi seperti biasa dari lapangan terbang berkenaan hari ini.

Penerbangan AK6446 dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu yang dijadualkan berlepas malam tadi pula berlepas ke Kota Bharu, 9 pagi tadi.

Berita berkaitan:

Pesawat tergelincir, penumpang terkandas

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 10:50 AM