GAMBAR fail, hospital di mana kejadian berlaku. - MailOnline

Tokyo: Seorang pesakit di sebuah hospital di sini melecur teruk apabila laser yang digunakan pakar bedah untuk menjalankan pembedahan ke atasnya memercikkan api selepas pesakit itu terkentut.

Wanita berusia 30-an itu menjalani pembedahan di Hospital Universiti Perubatan Tokyo, membabitkan penggunaan laser pada bahagian pangkal uterusnya.

Bagaimanapun, ketika pakar bedah itu melakukan prosedur berkenaan dengan laser, pesakit itu terkentut.

Ia menyebabkan gas itu memercikkan api dan menyebabkan gaun dan kaki pesakit itu terbakar.

Walaupun melecur teruk, pesakit itu dikatakan terselamat.

Kejadian berlaku April lalu tetapi hanya didedahkan selepas siasatan dalaman dilakukan pihak hospital, lapor akhbar Jepun, Asahi Shimbun.

Dalam laporan yang diumumkan minggu lalu, siasatan itu mendapati tiada bahan mudah terbakar berada dalam bilik bedah ketika kejadian.

Ia juga menjelaskan, semua kelengkapan yang digunakan sepanjang prosedur itu berfungsi seperti biasa.

Laporan itu merumuskan: “Apabila angin dari dubur pesakit itu keluar, ia terpercik dengan sinaran laser dan menyalakan api, menyebabkan kebakaran.”

Hospital Universiti Perubatan Tokyo terletak di pusat bandar ibu negara Jepun dan dilengkapi kemudahan canggih. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 8:53 AM