Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Minyak masak tiada dan peniaga tidak tahu sama ada harganya naik atau tidak.

Itu hasil tinjauan Harian Metro di beberapa kedai runcit sekitar Pantai Dalam di sini pagi tadi.

Peniaga kedai runcit, Rapeah Yunus, 50, berkata, bekalan minyak masak di kedainya terputus sejak seminggu lalu.

"Tak ada, puas cari bekalan minyak masak tapi tak ada. Kali terakhir saya dapat bekalan tiga minggu lalu, yang dalam paket satu kilogram (kg).

"Masa itu ambil dua kotak (34 peket), sekarang dah habis. Saya cari di mana-mana pun dah tak ada. Harga masa saya beli tu masih sama RM2.50 sepeket. Kalau dapat stok baru lepas ini tak tahu pula berapa harga," katanya.

Seorang lagi peniaga, Bilal Husin, 42, yang sudah berniaga sejak tahun 1991 berkata, bekalan minyak masak tidak dihantar sejak seminggu lalu.

"Selalu pembekal ada datang hantar bekalan minyak masak, tapi ini sudah seminggu tak ada, tak tahu macam mana. Sudah seminggu tak ada minyak masak.

"Kita tak tahu harga macam mana, naik ke turun sebab pembekal tak datang, tak ada bekalan. Pelanggan tanya pun saya jawab memang tak ada bekalan," katanya.

Kedai runcit milik Tajuddin Ismail, 28, juga kehabisan stok minyak masak dalam tempoh yang sama.

"Stok minyak masak sekarang ini tak ada dah seminggu. Biasanya setiap hari Sabtu pembekal datang hantar. Saya biasanya beli tujuh kotak (119 paket).

"Harga pun saya tak tahu lagi macam mana, naik ke turun. Saya rasa mungkin ada pihak yang simpan minyak masak," katanya yang sudah berniaga selama tiga tahun.

Harian Metro juga menemubual pengguna yang turut melahirkan kekecewaan kerana sukar mendapatkan minyak masak ketika ini.

"Bekalan minyak masak ini kadang-kadang okay, kadang-kadang tak okay. Kita nak beli sekotak pun dia (peniaga) kata tak boleh sebab tak cukup," kata peniaga buah-buahan, Dorothy Sia Su Lean, 57.

Seorang suri rumah, Marry, 60, berkata, dia terkejut kerana ada kedai yang menjual minyak masak paket 1kg pada harga yang lebih tinggi.

"Saya pergi kedai beli minyak masak minggu lepas, tapi harganya RM2.80. Saya baca di surat khabar harga untuk 1kg masih RM2.50. Mahal. Tak mahu beli," katanya.

Inoyah Uda, 69, yang juga suri rumah mengakui menu makanan hariannya terganggu kerana kehabisan minyak masak.

"Dalam masa seminggu lebih ini minyak masak memang dah berkurangan, tapi saya sebelum ini ada beli dua peket untuk simpan di rumah.

"Hari ini saya nak beli lagi dah tak ada, tanya di kedai-kedai mana pun tak ada minyak masak. Habis kita sebagai pengguna tak kan nak rebus ikan saja? Kita nak ada makanan bergoreng," katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini berkata, harga minyak masak bersubsidi dalam paket satu kilogram (kg) dikekalkan pada paras RM2.50.

Beliau berkata, harga minyak masak di dalam botol pula ditetapkan mengikut harga pasaran bermula hari ini berikutan penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 11:38 PM
Tajuddin menunjukkan kotak minyak masak yang kosong selepas ia habis dan tiada bekalan sehingga kini. FOTO Saiful Iskandar