Artis dan selebriti, Yana Shamsudin, Fiza Sabjahan, Maria Tunku Sabri dan Ungku Ismail Aziz bersama pesakit kanak-kanak program Travelling Beruang.
Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kempen tanggungjawab sosial korporat Travelling Beruang antara program terbitan Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) yang memenangi Marketing Excellence Awards 2016.

Telefilem Travelling Beruang dengan kerjasama Air Asia yang disiarkan di TV3 tahun lalu membawa pulang trofi emas menerusi anugerah Pemasaran Media Sosial Cemerlang.

Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9, Sherina Nordin berkata, Travelling Beruang adalah kempen murni bagi membantu pesakit kanser kanak-kanak.

"Pihak kami bangga kerana inisiatif pertama mengadakan kempen tanggungjawab sosial menerusi telefilem Travelling Beruang menerima sambutan hebat daripada penonton di seluruh negara," katanya.

Menurut Sherina, kempen itu yang dilancarkan pada Jun tahun lalu berjaya menjual ribuan patung beruang dan hasilnya disalurlan ke Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

"Kini, kempen berkenaan diteruskan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar yang menyambung usaha pelakon Ungku Ismail Aziz selaku ikon Travelling Beruang," katanya.

MPTN memenangi dua trofi gangsa Strategi Penjenamaan Cemerlang dan Strategi Media Cemerlang bagi kempen Huawei Best ‘Wei’.

Selain itu, MPTN turut membawa pulang trofi emas bagi kategori Pengaktifan Penajaan cemerlang serta trofi perak untuk Tanggungjawan Sosial Korporat Cemerlang.

Bagi kempen Inspiring Gratitude with Mother’s Love, MPTN menerima trofi gangsa bagi Pemasaran Cemerlang bagi kategori penonton Wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 10:38 PM