Puteri Aishah bersama Nelydia Senrose (kanan).
Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pelakon Puteri Aishah Sulaiman kecewa dengan tindakan satu portal Internet memuat naik gambar dia berseluar pendek paras paha beserta blaus ketat dan jaket hingga dia dikecam pengguna Internet, baru-baru ini.

Seluar yang digayakan itu terlalu pendek hingga menampakkan sebahagian besar kedua-dua belah pahanya.

Puteri Aishah, 22, berkata, gambar berkenaan adalah gambar lama dan ia diambil di satu majlis di sini, tahun lalu ketika belum bergelar artis lagi.

Menurutnya, ketika itu ada pereka fesyen menaja pakaiannya untuk ke majlis itu dan dia hanya menurut kehendak pereka fesyen itu.

“Waktu itu saya belum lagi menjadi pelakon dan tiada yang mengenali saya. Tak sangka pula selepas saya aktif berlakon, ada pihak tidak bertanggungjawab memuat naik gambar itu,” katanya.

Puteri Aishah berkata, dia tidak terkesan pun dengan perkara itu namun akan berhati-hati selepas ini.

“Saya pun malas nak ingat gambar itu lagi. Bagi saya tiada apa yang sensitif mengenainya,” katanya.

Aishah mula mendapat perhatian ramai tahun lalu apabila gambar dia bertudung ketika bertugas sebagai guru sementara ‘viral’ dengan kisah Cikgu Aishah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 6:44 PM