TELEFON pintar SHARP pertama baru. FOTO Sairien Nafis
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Comtiva Technology dengan kerjasama SHARP memperkenalkan dua model telefon pintar segmen pertengahan iaitu SHARP Z2 dan SHARP M1 pertama di Malaysia, hari ini.

SHARP Z2 dikuasakan dengan cip pemproses MediaTek Helio X20 dengan kelebihan Tri-Cluster CPU serta penggunaan kuasa 30 peratus lebih rendah bagi keselesaan pengguna dan pemproses Deca Core dan Quad Core 1.4GHz.

Lebih menarik, SHARP Z2 turut dilengkapi teknologi mengecas bateri sehingga 50 peratus dalam masa 30 minit untuk kapasiti bateri berkuasa 3,000 mAh serta kamera 16 megapiksel (MP) dan fungsi dual kad sim dengan mikro SD.

Sementara itu, model SHARP M1 yang menggunakan pemproses 1.3GHz Octa Core ditumpukan kepada penggunaan selfie.

Kedua-dua kamera pada bahagian hadapan dan belakangnya dilengkapi dengan kamera 13 MP selain dilengkapi dengan rakaman sudut luas bagi rakaman selfie bersama rakan-rakan manakala bahagian belakangnya kaca berkilat dengan bucu melengkung.

Pengarah Jualan Comtiva Technology Malaysia, James Lowerence berkata, kerjasama dengan SHARP adalah usaha dalam memenuhi permintaan bagi telefon pintar yang semakin mendapat sambutan.

"Rantau Asia Tenggara mempunyai populasi tinggi dengan peratusan pemilikan telefon pintar yang banyak sekali gus menjadikan ia pasaran terbaik bagi produk terbaru kami," katanya pada majlis pelancaran telefon pintar SHARP Z2 dan SHARP M1 di sini, hari ini.

SHARP Z2 boleh didapati di pasaran pada harga RM1,199 dengan dua pilihan warna emas dan perak manakala M1 dijual pada harga RM899 dengan pilihan putih dan merah jambu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 5:48 PM