PASUKAN militia Syiah yang disokong Iran mara menuju Mosul dari arah selatan selepas mengambil bahagian dalam memerangi Daish untuk menawan semula bandar berkenaan daripada Daish, semalam. - Reuters
Reuters

Mosul: Satu unit tentera elit Iraq mara ke zon industri di Mosul, kubu kuat kumpulan Daish semalam, selepas dua minggu pertempuran bagi menawan kawasan sekitar bandar itu dari penguasaan militan berkenaan.

Bagaimanapun, tentera Iraq berkata, serangan bagi menawan semula Mosul mungkin mengambil masa beberapa minggu atau beberapa bulan lagi.

Seorang pegawai tentera Iraq berkata, anggota dari unit Perkhidmatan Antipengganas mara ke Gogjali, zon industri di pinggir timur Mosul dan mungkin masuk ke kawasan itu semalam.

Gogjali terletak kira-kira satu kilometer dari sempadan pentadbiran Mosul.

“Operasi bagi membebaskan bahagian kiri tebing Mosul sudah bermula,” kata satu kenyataan tentera yang merujuk bahagian timur tebing sungai yang mengalir di bandar itu.

Kejayaan menawan semula Mosul dianggap sebagai simbolik kekalahan Daish di Iraq.

Ketua Daish, Abu Bakr al-Baghdadi membuat pengisytiharan pemerintahan khalifah dari Masjid Besar Mosul selepas menawan hampir separuh wilayah Iraq, dua tahun lalu.

Mosul masih mempunyai 1.5 juta penduduk, menjadikan ia empat atau lima kali lebih besar berbanding bandar lain yang ditawan Daish di Iraq atau Syria.

Kata tentera lagi, lima lagi kampung berjaya ditawan semula di utara Mosul, lokasi pejuang Kurdis ditempatkan manakala beberapa unit tentera mara ke selatan.

Pejuang Syiah Iraq yang disokong Iran turut menyertai pertempuran Sabtu lalu untuk membantu menawan laluan antara Mosul dan Raqqa, kubu kuat Daish di Syria.

Militan Daish cuba menghalang kemaraan tentera Iraq dengan melancarkan serangan bom kereta berani mati, penembak tepat dan mortar.

Kumpulan itu juga membakar telaga minyak supaya asap tebal yang terhasil melindungi pergerakan mereka dari serangan udara tentera perikatan diketuai Amerika Syarikat.

Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan saksi pula memberitahu, militan Daish menggunakan ribuan orang awam di beberapa buah kampung sebagai perisai manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 6:51 AM