KECERIAAN terpancar di wajah Danish dengan hadiah yang diterima.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Kanser tidak mengenal usia dan penyakit itu boleh menyerang orang muda termasuk kanak-kanak. Pesakit kanser, Muhammad Danish Maarif, 11, antara kanak-kanak yang diuji dengan penyakit itu.

Untuk menceriakan kanak-kanak itu, Legoland Malaysia Resort dan Lego Malaysia baru-baru ini bekerjasama dengan sekumpulan rakyat Malaysia menyerahkan hadiah berupa permainan daripada syarikat itu di rumahnya di Kuala Selangor, Selangor.

Danish yang menyukai permainan Lego dan pernah berhasrat berkunjung ke Legoland Malaysia Resort, disambut maskot watak Lego popular antaranya Lego Darth Vader, Lego Builder dan Lego Polis dan dikelilingi mainan Lego.

Lebih menarik, mereka turut menghias bilik Danish dengan barangan dalam tema pengembaraan untuk membuat ia kelihatan seperti bilik Hotel Legoland.

Menurut Wan Shahriza Wan Ab Rahman yang mengetuai kumpulan itu, rancangan membawa Legoland Malaysia Resort ke rumah Danish dibuat selepas doktor menyatakan kanak-kanak itu terlalu sakit untuk melalui perjalanan jauh kerana kanser sudah merebak ke seluruh tubuhnya dan dia dihantar pulang ke rumah untuk berehat.

Wan Shahriza berkata, Danish adalah peminat Lego dan salah satu impiannya adalah mengunjungi Legoland yang terletak di Johor namun hasrat itu tidak kesampaian kerana keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

Pengurus Besar Interim Legoland Malaysia Resort, Young Pil Kim berkata, pihaknya terharu membaca kisah Danish yang menyayat hati kerana setiap kanak-kanak berhak untuk bermain dan membina impian mereka.

“Walaupun tidak dapat membawa Danish ke Legoland seperti yang diimpikannya, kami cuba ‘membawa’ Legoland kepadanya.

Saya amat berterima kasih kepada mereka yang terbabit dalam membantu Danish dan menjayakan impiannya.

“Kami bekerjasama dengan Legoland dan juga LOM-LUG, kumpulan pengguna LEGO di Malaysia untuk datang ke rumahnya, kemudian mengadakan parti bangunan LEGO - kita bina Lego dengannya dan berkongsi imaginasinya.

“Selain itu, 501st Legion Malaysia Outpost turut membantu menjayakan program ini dengan memakai kostum apabila mereka mengetahui Danish juga peminat Star Wars,” katanya.

Kumpulan itu juga berbesar hati dapat berkongsi hari yang tidak dapat dilupakan dengan Danish. Mereka berharap dapat menjadi hos kanak-kanak itu dan keluarganya untuk berhibur di taman tema terbabit sekiranya keadaan kesihatannya semakin baik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 5:10 AM