Sungai Batang Benar yang kini berbau busuk dan berbuih dipercayai akibat sisa cecair industri yang dilepaskan terus ke dalam sungai itu. - Foto Bernama
Keadaan air longkang yang kotor dan busuk mengalir terus ke dalam Sungai Batang Benar dipercayai sisa cecair industri. - Foto Bernama
BERNAMA

Nilai: Air longkang berhampiran kilang di kawasan perindustrian sekitar Nilai dan Semenyih yang kotor kehitaman serta berbau busuk akibat pelepasan sisa industri dipercayai menjadi punca pencemaran bau dan perubahan warna air sungai di kawasan itu.

Antara sungai yang tercemar ialah Sungai Batang Benar, Sungai Pajam, Sungai Semenyih dan Sungai Beranang yang turut menghubungkan aliran air ke Sungai Buah seterusnya ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Tinjauan mendapati aliran Sungai Batang Benar berhampiran kediaman penduduk di Kampung Batang Benar dipenuhi cecair gelap berbuih yang amat busuk, selain mengandungi sampah sarap.

Pengawal keselamatan sebuah kilang memproses plastik, Hamdan Mohamad, 57, berkata longkang di depan pondok pengawalnya berbau seakan-akan bangkai ikan yang dibiarkan membusuk seminggu.

"Sangat busuk... bau dan keadaan ini lebih teruk ketika tengah malam sehingga menjelang subuh. Mungkin persekitaran yang gelap ketika itu digunakan pihak tidak bertanggungjawab melepaskan sisa cecair dari premis mereka terus ke parit.

"Bagaimanapun, masalah ini hanya berlaku sejak kebelakangan ini," katanya.

Penduduk Kampung Seri Pajam, Hussin Yunus, 58, berkata sungai di depan rumahnya sering mengeluarkan bau busuk kebelakangan ini, terutama menjelang malam atau selepas hujan.

"Bau busuk itu menyebabkan saya tidur tidak lena dan terpaksa menutup hidung untuk tidur," katanya.

Dia mendakwa pernah melihat orang membuang sampah ke dalam sungai pada waktu malam.

"Selain sampah-sarap timbul di permukaan air, kadang-kadang ia berbuih dan lapisan minyak muncul ketika air sungai mengalir deras," katanya.

Beliau mendakwa pengusaha kilang di kawasan perindustrian berhampiran melepaskan cecair kotor dan berbau dari premis mereka terus ke parit serta longkang yang mengalir ke sungai itu.

"Cecair busuk berbuih yang berwarna kehitaman dialirkan terus ke parit dan longkang yang mengalir ke sungai. Pelbagai sisa pepejal industri seperti besi buruk, getah dan bekas plastik cecair pelincir kenderaan boleh dilihat," katanya.

Suri rumah dari Kampung Batang Benar, Rosliwati Bharudin, menghalang anak-anaknya bermain di tepi sungai di belakang rumahnya kerana keadaan airnya yang keruh.

“Akhir-akhir ini, sungai itu busuk, dipenuhi sampah-sarap," katanya.

Pada 23 Oktober lalu, LRA Sungai Semenyih ditutup buat kali keempat dalam tempoh dua bulan susulan pencemaran bau air sungai disyaki berpunca dari kawasan perindustrian di Nilai.

Ia ditutup pada 22 dan 23 September serta 4 Oktober menyebabkan gangguan bekalan air di daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 9:49 PM