Anggota polis mengiringi warga Malawi di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Goergetown, hari ini, yang melakukan kesalahan mengedar dadah ketika berusia 17 tahun 11 bulan pada 2013. - Foto RAMDZAN MASIAM
BERNAMA

Georgetown: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini, memerintahkan remaja perempuan warga Malawi, Afrika, yang didapati bersalah mengedar dadah methampethamine tiga tahun lalu, dipenjara selama tempoh perkenan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Pesuruhjaya Kehakiman Collin Lawrence Sequerah menjatuhi hukuman itu terhadap remaja berkenaan mengikut Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-kanak 2001 memandangkan dia berusia 17 tahun 11 bulan ketika melakukan kesalahan.

Mengikut Seksyen 97 akta berkenaan, seorang kanak-kanak yang didapati bersalah tidak boleh dikenakan hukuman mati sebaliknya dipenjara di satu tempat selagi tidak mendapat perkenan sultan atau raja.

Remaja itu yang bertudung kelihatan tenang dan kerap menggelengkan kepala ketika mendengar penghakiman dibuat terhadapnya.

Dia didapati bersalah terhadap dakwaan mengedar 1,775.4 gram dadah methampethamine di ruang ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di sini, pada 10.30 pagi, 5 Oktober 2013.

Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Terdahulu, Collin dalam penghakimannya berkata, keterangan saksi pendakwaan tidak direka-reka serta bukan palsu.

Mahkamah juga mendapati dadah dijumpai dalam beg yang dibawa tertuduh ketika berada di lapangan terbang.

Seramai 10 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh, memberi keterangan sepanjang perbicaraan dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 5:56 PM