DARI kiri Amrahi Stacy dan Fuziah pada majlis pelancaran baru-baru ini.

GlaxoSmithKline Consumer Healthcare (GSK CH) baru-baru ini memperkenalkan myPharmAssistT, sebuah program pendidikan global yang terbaik seumpamanya bagi pengamal farmasi untuk meningkatkan peranan ahli farmasi di Malaysia.

Melalui usaha sama dengan Persatuan Farmaseutikal Malaysia (MPS), seramai 1,000 pengamal farmasi di seluruh negara akan dilatih untuk membantu mereka menyediakan penjagaan yang memberi tumpuan kepada pelanggan dan memenuhi keperluan industri farmasi yang sentiasa berubah.

GSK Consumer Healthcare menjelaskan, program terbabit dibuat untuk memberi sokongan kepada pengamal farmasi dalam menghadapi keadaan semasa apabila permintaan untuk penyelesaian penjagaan kesihatan dan kesejahteraan semakin meningkat. Peranan pengamal farmasi dalam komuniti berkembang daripada penyedia ubat-ubatan kepada penyedia penjagaan.

Menurut Kaji Selidik Kebangsaan mengenai Penggunaan Ubat-Ubatan (NSUM) oleh Pengguna Malaysia 2016, penyakit kronik semakin meningkat dan lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan khidmat pengamal farmasi untuk kaunseling serta maklumat pengurusan kesihatan kerana mereka pakar penjagaan kesihatan yang paling mudah ditemui dalam komuniti.

Lebih daripada 30 peratus responden mengambil ubat-ubatan untuk menguruskan penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis manakala 70 peratus daripada mereka memilih berjumpa ahli farmasi bagi mendapatkan nasihat serta maklumat mengenai ubat-ubatan. [1]

“Malaysia ialah negara yang pertama yang melancarkan program global myPharmAssistT ini. Sebagai peneraju penyedia penjagaan kesihatan pengguna, kami turut bimbang akan peningkatan penyakit kronik di Malaysia. Berdasarkan pengalaman dari seluruh dunia, kami mendapati pendidikan kesihatan umum penting untuk mengurangkan penyakit kronik dan farmasi komuniti ialah salah satu tempat pertemuan yang paling penting untuk memaksimumkan kesan pemerkasaan masyarakat ini,” kata Pengurus Besar GSK Consumer Healthcare Malaysia Stacy Wallace.

“Program myPharmAssistT ditubuh berasaskan sains dan kepakaran, direka dan ditulis oleh pengamal farmasi untuk rakan sekerja mereka dalam industri ini. Kami menjangka program ini akan memberikan sokongan yang besar kepada pengamal farmasi dalam komuniti untuk memberikan saranan yang terbaik kepada pesakit mereka, seterusnya dapat meningkatkan kesihatan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Program myPharmAssistT, satu platform pendidikan yang dinamik menyediakan kandungan dan latihan yang dihasilkan khas untuk mendekati dan mendidik kumpulan farmasi - pengamal farmasi, pembantu farmasi dan pemilik farmasi dalam komuniti. Program bermodul ini merangkumi pelbagai topik seperti melegakan kesakitan, batuk, selesema, kesihatan mulut dan kulit, alahan, pemakanan, malah mengenai penghadaman; yang memenuhi keperluan kumpulan farmasi daripada maklumat mengenai penyakit ringan, masalah kesihatan dan produk hinggalah ke asas perniagaan dan memahami tabiat pembeli. Ia juga menyediakan peralatan untuk membantu interaksi dengan pesakit seperti peralatan saringan dan panduan kaunseling.

Bagi memenuhi kesesuaian kehidupan seharian ahli farmasi yang sibuk dan perbezaan dalam cara pembelajaran, program ini akan disampaikan dalam tiga format berbeza - aplikasi digital, bahan bercetak dan perjumpaan. Semua modul direka untuk membolehkan ahli farmasi belajar sambil bekerja dengan kandungan di dalam dan luar talian yang boleh diakses melalui pelbagai peralatan termasuk peralatan mudah alih, komputer tablet dan komputer meja. Kumpulan farmasi boleh menyesuaikan diri dan belajar mengikut keupayaan masing-masing dengan kemudahan kemajuan autosimpan, pelbagai tempoh dan format melalui pendekatan arahan sendiri yang menumpukan kepada hasil pembelajaran.

“Kami mengalu-alukan usaha GSK Consumer Healthcare dalam membina komuniti yang sihat bersama pengamal farmasi tempatan,” kata Presiden Persatuan Farmaseutikal Malaysia (MPS) Amrahi Buang.

Menurutnya, pelancaran platform myPharmAssistT ini tepat pada masanya dan berguna dalam meningkatkan kecekapan ahli farmasi, serta mempertingkatkan dan mengemas kini kemahiran serta pengetahuan pengamal farmasi secara berterusan demi kebaikan rakyat Malaysia.

“Kami menyasarkan melatih 1,000 pengamal farmasi dalam komuniti menjelang 2017,” katanya.

Program myPharmAssistT disediakan dalam tiga bahasa iaitu Inggeris, Malaysia dan Cina, untuk disesuaikan dengan keperluan kumpulan farmasi di Malaysia.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Timbalan Pengarah Bahagian Pendaftaran Lembaga Farmasi Malaysia Kementerian Kesihatan Fuziah Abdul Rashid.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 1:01 PM