WINGS turut membuat persembahan.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Hujan ketika persembahan kumpulan Wings langsung tidak menjejaskan keghairahan peminat untuk menyaksikan artis kebanggaan negara ini beraksi pada Rockaway Festival yang berlangsung sempena perlumbaan Malaysia MotoGP 2016 di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC), kelmarin.

Selepas tiga tahun, pentas Rockaway anjuran Livescape Group kembali membawakan barisan artis terkenal iaitu kumpulan Wolfmother, kumpulan The Darkness dan legenda rock dari Jerman, Scorpions yang terkenal di seluruh dunia.

Wings dan kumpulan Muzza’s Mayhem adalah kumpulan rock Malaysia yang bertuah terpilih menjayakan persembahan ini bersama barisan kumpulan ternama dunia ini.

Kombinasi ini ternyata menampilkan persembahan hebat yang memukau peminat setiap kumpulan yang membanjiri lokasi konsert sejak awal petang.

Kumpulan Muzza’s Mayhem yang pernah mewakili Malaysia dalam pertandingan Battle Of the Bands di Oslo, Norway pada April 2015 tampil sebagai pembuka pentas pada jam 5 petang.

Tempoh 30 minit yang diberikan ternyata dimanfaatkan sebaik mungkin kumpulan yang dianggotai Muzaffar Shah, Aizat dan Hafiz ini dengan memberikan persembahan yang menghiburkan.

Selepas itu, pentas diambil alih pula Wolfmother yang berasal dari Australia. Persembahan Andrew Stockdale, Chriss Ross dan Myles Heskett yang menampilkan genre hard rock ini sememangnya hebat dan memukau peminat yang hadir.

Wings pula sudah mencipta jenama unggul dan kemunculan mereka pada jam 7.30 malam amat ditunggu-tunggu peminat.

Kehebatan mereka terserlah apabila menyampaikan lagu Romania, Ranggi Metropolis, Sejati, Ingatkan Dia dan Inspirasi Taming Sari.

Bahkan, peminat asing juga kelihatan mampu ‘layan’ lagu mereka apabila menggoyangkan badan dan kepala mengikuti rentak lagu yang disampaikan.

Lima lagu dirasakan tidak cukup, namun, Wings terpaksa meninggalkan pentas untuk kumpulan The Darkness dan Scorpions pula.

Bagaimanapun, persembahan bertenaga dan hebat mereka wajar dipuji. Bahkan, mereka amat berbangga kerana dapat beraksi sama pentas dengan Scorpions yang mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia.

“Alhamdulillah...walaupun hujan anda tak berganjak. Kami berbangga kerana disenaraikan sebagai kumpulan tempatan yang mengadakan persembahan untuk Rockaway kali ini,” kata Awie ringkas.

Kumpulan glam rock The Darkness dari Britain menyemarakkan lagi pentas Rockaway Festival dengan barisan lagu popular antaranya One Way Ticket dan single terbaru berjudul The Horn.

Tepat jam 10.15 malam, kemunculan Klaus Meine, Rudolf Schenker, Matthias Jabs, James Kottak dan Pawel Maciwoda disambut dengan sorakan bergemuruh penonton.

Mereka begitu dahagakan persembahan daripada kumpulan yang kali terakhir beraksi di Malaysia menerusi konsert Scorpions Unbreakable Live in Malaysia pada 2004 yang menarik kehadiran 10,000 penonton.

“Apa khabar Malaysia,” ucap Klaus Meine yang cuba berbahasa Melayu. Tidak dinafikan penyanyi ini sememangnya dikenali sebagai artis yang pandai berkomunikasi di atas pentas.

Scorpions mengocak perasaan penonton menerusi lagu Going Out With A Bang, Make It Real, The Zoo, Coast To Coast, Top Of The Bill, Steamrock Fever, Speedy’s Coming, Catch Your Train, We Built This House dan Delicate Dance.

Tidak terkecuali, Scorpions turut berkongsi pengalaman silam mereka ketika mula-mula muncul dalam bidang seni.

Seterusnya mereka terus membuai penonton dengan lagu Send Me An Angel, Wind Of Change, Rock’n Roll Band, Overkill, Blackout, Big City Nights, Still Loving You dan Rock You Like A Hurricane.

Penonton turut kagum dengan persembahan James Kottak yang menunjukkan kemahirannya bermain dram secara solo.

Sememangnya persembahan Klaus Meine bersama rakan-rakannya menepati kehendak peminat. Jelas usia bukanlah penghalang untuk mereka memberikan persembahan bertenaga.

Sementara itu, Livescape Group akan meneruskan kesinambungan pentas Rockaway menerusi ‘Rockaway The Saga Continues’ yang akan berlangsung pada 19 November di Extreme Park, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil.

Antara kumpulan rock besar yang akan membuat persembahan ialah kumpulan rock Third Eye Blind, Taking Back Sunday dan The Get Up Kids.

Manakala, kumpulan tempatan pula akan menyaksikan Butterfingers, Alleycats, Datuk Zainal Abidin, Hujan & Radhi OAG serta ramai lagi.

Rockaway anjuran The Livescape Group disokong oleh MME, agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 12:44 PM