Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Sepang: “Belum rezeki saya.”

Demikian luahan pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah (gambar) yang hanya terpisah dua kedudukan untuk meraih podium selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia di kedudukan kelima di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.

Ia penamat terbaik buat penunggang yang mendapat gelaran Pescao itu di halaman sendiri sepanjang tiga musim penuh beraksi pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) selepas terjatuh pada 2014 dan menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan tahun lalu.

Namun pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu pernah menduduki tangga ketiga pada 2012 ketika beraksi menerusi tiket wild card dan kemenangan itu hanya diperoleh selepas kira-kira setahun kerana pelumba yang meraih podium ketiga ketika itu, Anthony West gagal ujian doping.

“Walaupun bermula di petak ke-14, saya tetap yakin dengan diri dan jentera kerana dapat mencatat masa yang baik bermula di sesi latihan bebas pertama lagi.

“Jika dulu saya mungkin berasa berdebar dan tidak boleh fokus kerana harapan peminat terlalu tinggi tapi kali ini saya lebih matang.

“Mungkin belum rezeki saya naik podium tapi tempat kelima juga sangat baik,” ujarnya.

Selepas 17 pusingan, Hafizh menduduki tempat kesembilan kategori pelumba Moto2 dengan meraih 117 mata.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara Ramdan Rosli dari pasukan PETRONAS AHM Malaysia yang beraksi menerusi tiket wild card, turut cemerlang apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12.

“Saya bermula agak lambat kerana buat kesilapan.

“Apapun saya tetap berpuas hati dengan penamat ke-12 ini kerana bukan mudah bersaing dan meraih mata,” katanya.

Perlumbaan semalam dimenangi Johann Zarco dari Ajo Motorsport yang turut mengesahkan kejuaraan dunia kategori Moto2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 11:58 AM