OPERASI mencari dan menyelamat Bomba ditamatkan selepas kesemua penumpang dan tekong ditemui. FOTO Nur Syazwana Mansor
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


Alor Setar: Lima lagi penumpang bot penambang yang terbalik berhampiran Jeti Tanjung Dawai, Yan, pagi tadi, ditemui selamat.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, semua mangsa diselamatkan oleh penumpang bot lain yang berada di lokasi.

Dalam kejadian 10 pagi tadi, bot membawa 13 penumpang termasuk tekong dalam perjalanan dari Tanjung Dawai, menuju Pantai Merdeka, Sungai Petani terbalik akibat terlanggar tali sauh bot pukat tunda berhampiran Jeti Tanjung Dawai

Dua mangsa maut manakala 11 termasuk lima yang baru ditemui terselamat.

Nur Hafizah berkata, mayat dua mangsa yang maut, masing-masing lelaki dan wanita berusia berusia lingkungan 30 tahun diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Dua mangsa berusia lingkungan 40 tahun yang cedera pula dibawa ke Hospital Sungai Petani dengan ambulans untuk rawatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nur Hafizah berkata, empat daripada mangsa berada di Pantai Merdeka manakala baki lima lagi di Tanjung Dawai.

Katanya, pihaknya menerima panggilan 10.38 pagi berhubung kejadian dan operasi bantuan disertai tiga pegawai dan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan dan Tikam Batu.

"Sejurus tiba di lokasi iaitu di Tanjung Dawai 11.06 pagi, operasi menyelamat terus dilakukan dengan diketuai Pegawai Bomba Kanan I Mohamad Yunus Abu," katanya.

Dengan pememuan kesemua penumpang, JBPM menamatkan operasi mencari dan menyelamat pada 1.30 tengah hari tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 2:21 PM