Oleh Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Hasrat mengekalkan seni dan warisan pakaian tradisional mendorong Alia Md Noor, 27, memilih kebaya tasik dengan sulam kerawang dan renda dalam percubaan pertama-nya menceburi dunia fesyen tanah air.

Wanita ini yang mengasaskan Kirana Kouture sejak awal tahun ini tertarik untuk mengekalkan ciri tradisional dalam setiap rekaannya selepas mendapati pakaian sedemikian masih mendapat tempat dalam kalangan peminat fesyen tempatan, termasuk pelancong dari luar negara.

"Kebaya tasik membabitkan pelbagai warna dan corak kerawang atau renda yang cantik dengan motif bunga, rama-rama dan burung merak disulam halus pada bahagian dada dan kaki baju mampu menyerlahkan keayuan pemakainya.

"Setiap corak kerawang dan renda sulaman diperbuat dengan sulaman tangan sepenuhnya. Malah, motif dan warna hanya ada pada sehelai kebaya, sekali gus menjadikannya eksklusif bila dipakai," katanya.

Menurut Alia, peminat kebaya tasik boleh memadankan baju dengan kain sama ada batik, song-ket atau pareo yang turut dijahit dengan manik bagi menyerlahkan lagi pesona fabrik berkenaan.

"Saya juga menghasilkan kebaya tasik untuk pelbagai saiz bermula XS hingga XXXL bagi membolehkan semua wanita memakai busana tradisional ini.

"Mereka yang bertudung juga tidak perlu risau jika kebaya tasik yang singkat akan menampakkan susuk tubuh kerana saya juga menghasilkan kebaya tasik yang labuh dengan fabrik yang tidak jarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:01 AM